Oct 28, 2008

Pemberitahuan!!!


Pengumuman penting. Penulis blog ini telah memutuskan untuk memiliki sebuah lagi blog peribadi. Justeru, berkemungkinan blog ini akan semakin jarang dikemaskini atau mungkin saja dijadikan arkib sejarah. Penulis belum membuat keputusan muktamad berkenaan hal tersebut.


Penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelawat blog ini. Kehadiran anda sekalian telah menceriakan lagi blog ini dengan peningkatan trafik dan komen yang membina. Pelawat yang lebih suka berdiam diri dari meninggalkan sebarang jejak juga amat penulis hargai. Sokongan dari anda selama ini menjadi inspirasi buat penulis untuk terus berkarya. Penulis telah memenangi sebuah hosting percuma yang ditaja sepenuhnya oleh seorang rakan bloggers. Jadi, buat masa ini, penulis akan belajar untuk menggunakan blog tersebut yang tidak berpelantarkan Blogspot. Untuk itu, penulis akan berkarya di sana pula.

Oct 25, 2008

Panggung Wayang Gambar


Penulis bukanlah seorang kaki wayang. Namun, pada zaman jahiliah penulis beberapa tahun terdahulu, pernah juga muka penulis terpacul di panggung wayang gambar atau lebih sinonim dengan panggilan pawagam. Seperkara yang pasti, kesemua pemergian penulis ke pawagam adalah di luar kerelaan penulis sendiri. Maknanya, terpaksa akur dengan ajakan orang lain atas alasan untuk menjaga hati kawan.


Penulis hanya pernah menjejakkan kaki sebanyak tiga kali ke pawagam. Dua kali daripadanya di Kemaman dan sekali di Kuantan. Mari kita lihat sebab musabab yang memungkinkan peristiwa ini berlaku.

Kali Pertama

Penulis berusia 12 tahun ketika itu. Masih lagi kanak² yang belum mengerti sepenuhnya erti hidup. Petang itu penulis bersama rakan² seramai 4 orang pergi ke bandar untuk membeli alatan kelengkapan sekolah. Usai membeli, kami melalui kawasan pawagam yang sedang sesak dengan pengunjung. Salah seorang rakan yang terpandang poster besar di situ memberitahu bahawa cerita yang akan ditayangkan ialah Isabella. Teruja dengan barisan pelakonnya iaitu Kumpulan Search yang sememangnya tersohor ketika itu, kami memutuskan untuk memecahkan tradisi dengan menonton wayang. Nasib baik kami punya wang yang cukup untuk membayar tiket. Berdepan dengan suasana gelap gelita, kami tercari² lokasi kerusi kami berdasarkan nombor tiket yang diberi. Maklumlah pengalaman pertama kami membuatkan kami seperti orang jakun. Penulis keluar dari pawagam dari dengan perasaan bersalah kerana tidak memaklumkan kepada ibu bapa dahulu untuk ke pawagam tetapi jauh di sudut hati tersangat puas kerana dapat melihat Amy Search berlakon filem.

Kali Kedua

Publisiti yang meluas terhadap filem ini telah menyebabkan penulis didesak sekali lagi oleh rakan² untuk sama² menonton filem yang pernah mencetuskan kontroversi ini. Hampir saban hari, promo filem ini disiarkan di kaca tv. Menjelang kemuncak penayangannya, semakin hebat pula ajakan dari rakan² penulis agar penulis turut serta menonton. Oleh kerana penulis agak lemah dengan pujuk rayu terutamanya dari rakan akrab, penulis terpaksa bersetuju. Sewaktu kami menonton filem ini, terlalu ramai manusia yang turut sama menyaksikannya. Hebat betul penangan tv. Kali ini penulis pergi dengan izin walaupun pada mulanya kedua ibu bapa penulis agak berat untuk membenarkan penulis penonton menonton filem yang menerima banyak kritikan ini. Filem yang penulis maksudkan itu ialah Perempuan, Isteri dan .... Sebenarnya pada asalnya perkataan dot dot dot itu ditulis jalang tetapi mendapat respons negatif dari masyarakat Malaysia. Justeru, ia ditukar tajuk. Penulis agak muda untuk menyaksikan filem bergenre sedemikian tetapi demi kawan, penulis turutkan jua.

Kali Ketiga

Inilah kali terakhir penulis menonton filem di pawagam. Jika kedua² filem sebelum ini penulis tonton di Kemaman tetapi untuk kali ini, penulis menontonnya di Kuantan. Pada asalnya penulis menemani seorang rakan untuk berurusan tetapi oleh kerana urusan tersebut perlu ditinggalkan kerana mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Kami memutuskan untuk pergi window shopping di Megamall Kuantan. Sewaktu sedang melintasi kawasan pawagam di situ, rakan penulis mencadangkan agar kami menonton wayang bagi menghindari bosan sambil menunggu urusan kami selesai. Pada fikiran penulis, ada benarnya juga saranannya itu. Baik kami duduk di dalam bilik berhawa dingin sambil makan pop corn dari berjalan mundar-mandir di dalam kompleks membeli-belah itu. Kami memilih untuk menonton filem The Touch yang kebetulannya akan ditayangkan kira² 10 minit lagi.

Lengkaplah pengalaman penulis menonton wayang di pawagam iaitu sebanyak 3 kali sahaja. Kadangkala terasa menyesal juga kerana tidak menolak ajakan rakan² dengan keras. Cukuplah sebanyak itu sahaja pengalaman penulis tentang wayang, semoga tidak akan ada kali keempat. Lagi pun, panggung wayang di Kemaman sudah lama ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Dengar cerita, pawagam baru bakal dibuka di Mesra Mall tetapi penulis yakin kali ini penulis akan mampu menepis jika ada rakan² mengajak penulis menonton wayang lagi. Penulis bukan budak baik tetapi penulis tidak mahu juga menjadi budak nakal, biarlah segala² berada di paras sederhana.

Oct 24, 2008

Bina Ayat


Bahagian yang penulis paling suka sewaktu sessi pembelajaran ialah Bina Ayat Berdasarkan Perkataan Yang Diberi. Walaupun ia menjadi kegemaran penulis tetapi sangat dibenci oleh para pelajar kerana mereka perlu berfikir untuk menggarap ayat. Justeru, penulis tidak pernah meminggirkan bahagian bina ayat setiap kali kelas Bahasa Melayu. Menariknya, ada sesetengah pelajar yang terlalu kreatif pemikirannya sehingga membuatkan penulis tersenyum sendirian kerana geli hati. ihikhik


Mari kita lihat contoh² ayat yang digunapakai oleh salah seorang pelajar penulis. Untuk pengetahuan anda, pelajar ini berusia 8 tahun dan berada di dalam Tahun 2.

Perkataan : menyertai
Ayat : Ibu dan bapanya menyertai jenis acara lompat rendah dan lompat tinggi.



Perkataan : diadakan
Ayat : Acara sambot bom diadakan dua hari lagi.


Tergelak besar penulis sewaktu membaca ayat yang dibuat oleh pelajar ini tetapi di dalam hati penulis mengakui pelajar ini agak pintar kerana memanfaatkan perkataan bom di dalam ayatnya. gelakguling