Ketika era kegemilangan filem Melayu dipelopori oleh P Ramlee dahulu, penulis masih belum lahir ke dunia. Malah, sesudah beliau kembali ke pangkuan Ilahi, penulis juga belum melihat alam maya ini. Namun begitu, penulis antara penggemar hasil karya beliau. Baik lakonan mahu pun nyanyian, penulis menyukai bakat yang ada pada seniman tersohor ini. Jika hendak dibandingkan filem² beliau dahulu dengan filem² garapan sekarang, jauh bezanya umpama langit dengan bumi. Disaat filem²/drama² Melayu kini disogokkan dengan impian, seks bebas, kecurangan suami isteri, filem² arahan dan lakonan beliau dahulu penuh dengan pengajaran dan realiti hidup disebalik unsur² lelucon yang diselitkan.
Mari kita menyorot kehebatan filem² P Ramlee agar dapat kita kaitkan kelogikan jalan ceritanya dengan suasana sebenar masyarakat umum. Penulis ingin memberi beberapa contoh filem² beliau yang penulis anggap punya mesej yang cukup bagus untuk dijadikan iktibar kepada semua orang.
Filem : Seniman Bujang Lapok
Mesej : Hormati orang lain meskipun berlainan bangsa.
Skrip : “Lu nama je Melayu, bikin adab pun tak tahu, ada ka panggil hoi hoi apa ni batu ke? Kayu ke?” - Sikh
Komen : Sepatutnya kita bercakap dengan nada sopan terhadap orang lain, jangan gunakan tutur kata yang tidak enak didengar.
Filem : Penarek Beca
Mesej : Usah cepat berputus asa.
Skrip : "Jikalau kau ingin mati, aku juga tak ingin hidup Azizah. Tetapi lebih baik kita bersabar. Tuhan akan menolong kepada orang yang bersabar." - Amran
Komen : Hidup kita penuh pelbagai dugaan, justeru perlu bersikap positif di dalam menangani masalah yang ada.
Filem : Musang Berjanggut
Mesej : Sindiran sinis terhadap wanita.
Skrip : "Perempuan menjaga maruah, tetapi betina menjualnya." - Tun Nila Utama
Komen : Sebagai seorang wanita, seharusnya seseorang itu menjaga akhlaknya dengan baik, bukan menjadikan ia tiket untuk menggoda lelaki.
Filem : Ahmad Albab
Mesej : Rezeki dan ajal ditentukan oleh Tuhan.
Skrip : “Kekayaan, kebahagiaan bukan di tangan bapa, tetapi di tangan Allah.“
Komen : Jika dikurniakan harta yang banyak, usah berbangga diri kerana itu semua pemberian Tuhan. Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Filem : Sumpah Orang Minyak
Mesej : Jangan memandang hina pada orang yang cacat.
Skrip : "Akulah si bongkok yang dikau haramkan untuk memijak kampung Tualang Tiga!!! Tetapi kini, aku dikau sembah-sembah, aku diagung-agungkan sebagai raja!!! Sebab apa? Wajahku tak seburuk dulu, sebab aku cantik berpakaian indah. Jujurkah kamu hidup sebagai manusia? Dikau semuanya pengecut! Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah." - Si Bongkok
Komen : Usah sesekali mencaci orang yang kurang sempurna, apatah lagi mencederakannya kerana setiap manusia berhak untuk hidup bahagia.
Begitulah secebis karya P. Ramlee yang dapat penulis ulas. Banyak lagi pengajaran yang boleh diambil dari setiap filem beliau. Malah, filem² beliau sinonim untuk sepanjang zaman sebab itulah penggemar filemnya bermula dari nenek moyang kita sehingga anak² kecil masa kini turut menyukainya.
Jelaslah, P. Ramlee telah berjaya mengangkat martabat filem Melayu sehingga beliau sendiri telah dinobatkan sebagai artis serba dan dianugerahkan gelaran Tan Sri Dr. P. Ramlee. Karya beliau mengajak kita semua melihat cermin kehidupan dan menilai diri sendiri. Tidak ramai yang mengkaji isu tersirat dan tersurat yang cuba P.Ramlee garap menerusi karyanya. Bagi mereka yang faham, terasa tersindir. Tapi yang tak sedar diri, terbahak-bahak gelak, kemudian terdiam sekejap sebab tersedar yang dia gelakkan diri sendiri.