Showing posts with label Love. Show all posts
Showing posts with label Love. Show all posts

Dec 3, 2010

Majlis Konvokesyen Ke-73 UiTM


Tarikh bersejarah di dalam kehidupan seorang pelajar termaktub lagi pada tarikh 2 Disember 2010. Dua tahun lepas, adinda lelaki penulis telah menerima diplomanya di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Akan tetapi kali ini isitadat konvokesyen dilakukan di UiTM Dungun, tempat adinda menamatkan pengajiannya.

Jan 1, 2010

Selamat Ulangtahun Kelahiran


Umur meningkat lagi tetapi perangai kadangkala semacam kanak². Sempena 1 Januari bersamaan hari lahir penulis ini, iltizam untuk memperkukuhkan jati diri, menambahkan ketaqwaan, menjana pendapatan lumayan dan memajukan perniagaan. Selain itu azam tahun lepas yang belum menjadi kenyataan tetap dibawa ke hadapan. Tiada alasan untuk berputus asa kerana doa adalah senjata mukmin. Penulis merancang, Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik² perancang.

Dec 24, 2009

Selamat Hari Lahir


24 Disember muncul lagi, tarikh keramat di mana seorang lelaki meraikan hari lahirnya. Ketika ini, lelaki itu berada jauh di Puchong sedang menunaikan tugasannya sebagai pelajar praktikal di Intestmal Corporation. Khabarnya dia perlu bertugas di Melaka pada hari ini. Untuk adinda lelaki kesayangan kami sekeluarga, ucapan hari lahir ini tulus ikhlas dari kami.

Jun 6, 2009

Selamat Hari Lahir


Bulan Jun muncul lagi. 6 Jun menjelang kini. Hari ini hari yang kau nanti. Hari ulangtahun kelahiranmu. Meskipun tanpa sebarang parti hari jadi yang meriah, tanpa hadiah yang mewah, ucapan hari lahir tetap menerjah. Selamat hari lahir buat adindaku yang tengah. Semoga semua impian tercapai. Kami sayang kamu.

Jan 1, 2009

Selamat Ulangtahun Kelahiran


Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran buat Wan Eriyza. Sepatutnya permulaan tahun baru ini Eriyza sambut dengan gembira tetapi Eriyza sedikit hiba. Lazimnya, hari lahir diraikan bersama bonda tercinta tetapi kini Eriyza keseorangan. Kami dilahirkan pada tarikh yang sama. Bukan mudah untuk mempunyai tarikh kelahiran sama dengan ibu. doa


Al-fatihah Eriyza hadiahkan buat bonda, semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Doa dan harapan agar Eriyza dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki halal yang murah, bertambah keimanan dan mendapat jodoh yang soleh. Doakan Eriyza. cium

Oct 3, 2008

Ikatan Suci

:s::e::l::a::m::a::t:
:b::e::r::t::u::n::a::n::g:

3 Syawal 1429H bersamaan 3 Oktober 2008M, termeterai satu lagi ikatan suci antara sepasang teruna dara yang saling menyayangi. Siang tadi berlangsungnya majlis pertunangan salah seorang saudara mara penulis iaitu Mazlinda dengan pasangannya. Penulis terlupa menanyakan nama tunangnya, justeru memadailah dengan ayat pasangan. Semoga pertunangan kedua mereka akan membawa ke jinjang pelamin tidak berapa lama lagi.


Selamat bertunang. Semoga berbahagia sehingga ke hujung nyawa.

Sep 2, 2008

Seratus Hari


2 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 2 September 2008, genaplah 100 hari arwah bonda meninggalkan kami. Terasa begitu cepat masa berlalu, dalam sedar atau tidak, kami berusaha berdikari menguruskan kehidupan sendiri tanpa bonda disisi. Ketiadaan bonda sangat dirasai di bulan yang mulia ini. Jika dulu, kami boleh bermanja dengan bonda seraya meminta bonda memasakkan juadah kegemaran kami.


Tapi kini, kami perlu menyediakan makanan untuk berbuka puasa sendiri. Tiada lagi masakan dari air tangan bonda yang lazat. Tiada lagi suara lunaknya memanggil penulis membantunya menyediakan bahan² masakan. Tiada lagi ajakannya ke surau untuk menunaikan solat terawikh. Hanya memori yang tinggal untuk kami abadikan di hati. Semoga roh bonda dicucuri rahmat. Al-fatihah.

Sayangnya, penulis tidak sempat menuntut semua ilmu masakan dari bonda. Justeru, penulis perlu belajar sendiri samada dari makcik² atau internet untuk menyediakan makanan. Penulis berharap penulis mampu memasak seenak masakan bonda. Namun, masih banyak lagi perlu dipelajari untuk menjadi tukang masak sehebat bonda.

Aug 15, 2008

Selamat Hari Lahir Ayahanda


Hari ini sebenarnya adalah Hari Lahir Ayahanda. Penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir buat ayahanda kesayangan. Semoga ayahanda diberi kesihatan yang baik, panjang umur dan sentiasa bahagia dunia wal akhirat. Meskipun bonda tiada lagi disisi ayahanda, namun kami tetap setia menemani ayahanda selagi diizinkan Allah.


Ayahanda, anak²mu menyayangimu dengan sepenuh hati meskipun kalimat itu jarang benar kami ucapkan secara zahir. Ketahuilah bahawa jauh di sudut hati kami, ayahanda berada di tempat teratas sama seperti kami tempatkan arwah bonda di sanubari.

Aug 12, 2008

Majlis Konvokesyen Ke-36 UKM


Tanggal 11 Ogos 2008 mencatat sejarah tersendiri di dalam kehidupan penulis dan keluarga. Pada tarikh inilah adinda kedua penulis menerima segulung ijazah Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Segala perit jerihnya selama 3 tahun bergelumang dengan asaimen dan tesis akhirnya berbaloi juga.


Justeru, di kesempatan ini penulis sebagai kakak kepadanya mengucapkan tahniah kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan sukses. Semoga adinda penulis memperolehi kerjaya yang baik dan dirahmati Allah selalu. Harapan ayahanda dan arwah bonda yang dipikulnya tertunai sudah. Meskipun arwah bonda tidak dapat meraikan kejayaannya bersama kami sekeluarga, namun penulis percaya arwah bonda pasti berbangga dengannya.

Penulis sangat teruja sebelum masuk ke Dewan Canselor Tun Adul Razak (DECTAR). Sewaktu penulis , adinda lelaki dan ibu saudara melangkah masuk ke Dectar tersebut, kami dapat merasakan kemeriahan yang bakal berlangsung. Selepas semua ibu bapa serta ahli keluarga masuk ke Dectar, para graduan mula masuk ke dalamnya. Mereka kelihatan segak dan cantik dengan jubah dan topi masing².

Kami berdiri untuk memberi penghormatan kepada para graduan sewaktu mereka berbaris masuk ke dewan. Sejurus kemudian, ketibaan Pro Canselor dan dif² kehormat yang lain dan kami terus berdiri sebagai tanda hormat kepada mereka.

Satu persatu nama mereka terpampang di skrin dan apabila tiba nama adinda penulis, terasa gembira di hati. Melihat dia menerima anugerah dari Pro Canselor, penulis teringatkan arwah bonda. Jika bonda masih ada, tentu bondalah yang akan melihat saat² gemilang itu. Al-Fatihah untuk bonda. Semoga arwahnya dicucuri rahmat.

Jun 6, 2008

Selamat Ulang Tahun


Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran buat adinda kesayangan. Meskipun, hari lahirnya pada tahun ini agak suram tidak seperti tahun² sebelumnya, penulis tetap berharap agar adinda penulis melaluinya dengan tabah. Penulis yakin adinda penulis kental jati dirinya untuk melalui detik² sukar ini. Penulis sentiasa disisi adinda walau dalam apa jua keadaan sekali pun. v7


Semoga adindaku sentiasa dilindungi Allah, murah rezeki, dipanjangkan usia dan bahagia di dunia dan akhirat. Kakak sayang kamu dulu, kini dan selamanya. Mudah²an ikatan kekeluargaan antara kita terjalin utuh walaupun kita sudah tiada ibu lagi. Jadikan kasih sayang ibu sebagai contoh terbaik untuk kita praktikkan di dalam kehidupan seterusnya. Selamat hari lahir adindaku yang dikasihi. v7

May 27, 2008

Al Fatihah Buat Bondaku

Al Fatihah untuk bondaku Zaliha Binti Zaharah. Pada jam 10.43 malam, hari Ahad 25 Mei 2008 bersamaan 19 Jamadil Awal 1429 Hijrah, bonda penulis telah kembali ke rahmatullah. Bonda penulis telah selamat disemadikan di tanah perkuburan Jabur pada pagi Isnin. Penulis dan ahli keluarga yang lain berada di sisi bonda sewaktu bonda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kami sekeluarga redha dengan pemergian bonda kesayangan. Doa kami mengiringinya agar bonda damai di sana.


Semasa hayatnya, bonda penulis adalah bonda yang sangat baik, penyayang dan disenangi ramai. Penulis bertuah kerana dilahirkan oleh bonda sepertinya. Walaupun, kasih sayang yang dicurahkan kepada penulis cuma seketika, namun memori indah yang tercipta itu akan kekal di dalam ingatan buat selama²nya.

Penulis, ayahanda dan adinda² diberi peluang oleh Allah untuk menjaga bonda sewaktu bonda terlantar sakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Kesempatan selama lebih kurang sepuluh hari itu kami manfaatkan sebaik mungkin untuk berbakti kepada bonda. Masih jelas tergambar di kotak fikir penulis, kami mengatur sendiri jadual untuk menjaga bonda tatkala ada di antara kami yang perlu mandi, solat, makan, tidur dan sebagainya. Setiap hari, bacaan Yassin dikumandangkan untuk bonda sebagai penawar. Kami lapkan badan bonda beberapa kali sehari agar bonda selesa. Kami berbual² dengan bonda meskipun tiada balasan jawapan yang kami terima. Kami lakukan senaman untuk bonda seperti yang disarankan oleh pakar fisioterapi. Kami usap dan gosok badan bonda dengan lembut agar bonda dapat merasai kasih sayang kami. Penulis belajar cara² untuk memberi susu kepada ibu melalui tiub. Semuanya masih segar di dalam ingatan.

Pada hari jenazah bonda dibawa pulang, penulis dan adinda perempuan bersama² membantu memandikan dan seterusnya mengkafannya. Kami lakukan dengan tabah meskipun hati cukup sayu. Bila tiba saat untuk mengucup wajah bonda buat kali terakhir, airmata mula membasahi pipi. Berkali² kami mengusap airmata agar tidak menitik ke wajah bonda. Akhirnya, wajah bonda penulis kucup bermula dengan dahi, pipi kanan, pipi kiri dan juga dagunya. Kucupan terakhir dari seorang anak untuk bondanya. Penulis lihat bonda seperti orang tidur, ada senyuman di wajahnya.

Kini, bonda tiada lagi. Bonda meninggalkan memori yang indah untuk kami kenang sepanjang hayat. Buat bonda kesayanganku, kasih sayangmu abadi di hati ini. Wajah bonda sentiasa penulis ingati. Penulis menyayangi bonda dari dunia sampai akhirat. Semoga roh bonda ditempatkan di kalangan orang² yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

May 24, 2008

Doakan Ibuku

Hari ini genap seminggu ibu penulis dimasukkan ke wad Mawar 7C Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Penulis dan ahli keluarga yang lain bekampung di wad yang berada di tingkat tujuh itu sepanjang ibu ditempatkan disini. Sukar untuk penulis gambarkan perasaan penulis saat ini, cuma penulis berharap pengunjung yang membaca topik ini dapat menadah tangan dan mendoakan agar ibu penulis kembali pulih seperti sedia kala.


Ketika ini, ibu penulis masih belum sedarkan diri. Justeru, penulis sangat berharap anda dapat mendoakan agar ibu penulis sembuh semula. Doa² ikhlas anda penulis dahulukan dengan ucapan terima kasih. Di kesempatan ini juga, penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat semua rakan taulan yang tidak henti² menelefon dan menghantar sms untuk bertanyakan khabar. Semoga kita semua di dalam rahmat dan perlindungan Allah jua. Amin.

Jan 29, 2008

Hero Kesayanganku


Entah bagaimana bisa penulis luahkan rasa hati ini. Akhir² ini ayahanda penulis kurang sihat. Lututnya sakit dan dia tetap bekerja seperti biasa. Bayangkan di dalam kesakitan yang amat sangat, dia masih juga mahu menyiapkan tugasannya sama seperti hari lain. Jika orang lain, sudah tentu mereka akan mengambil cuti sakit. Semangatnya masih kuat biarpun badannya sakit. Semangatnya itu amat penulis kagumi, sukar untuk dilakukan jika tiada jati diri yang kuat. star


Ayahanda berjalan perlahan dan terhencot². Penulis cuba untuk memegangnya agar dia tidak jatuh tetapi dia berkeras tidak mahu. Luluh hati penulis melihat ayahanda yang dikasihi tetap berusaha berjalan meskipun sakit. Penulis pernah sakit kaki dan penulis tahu bagaimana rasanya sakit itu. Hanya Allah lebih mengetahui, ia tidak dapat diungkapkan dengan perkataan.

Lazimnya ayahanda dan bonda tidur tanpa katil, jadi agak sukar untuk dia bangun dari tilam yang rendah di dalam keadaan begitu. Penulis menawarkan bilik penulis yang mempunyai katil untuk dia tidur tetapi dia tidak mahu kerana katanya bilik penulis jauh dari bilik air. Akhirnya, bilik bujang adinda penulis menjadi persinggahan sementara ayahanda. sedih

Bonda yang setia menemani ayahanda tidur di lantai kerana bilik itu cuma mempunyai katil bujang. Itulah kali pertama ayahanda tidur di dalam bilik anak lelakinya. Menitis airmata penulis mengenangkan kasih sayang kedua ibu bapa penulis. Kasih sayang yang suci murni, tidak bisa ditukar ganti dengan apa² pun. Di dalam sujud akhir penulis, tidak putus² penulis berdoa memohon agar ayahanda kembali sihat seperti sediakala.

Penulis mahu melihat senyuman ayahanda, bukan kerutan menahan sakit. Penulis mahu mendengar gelak ketawa ayahanda, bukan berdiam diri kerana sakit. Penulis mahu mendengar larangannya yang tidak mengizinkan penulis ke mana², bukan arahan supaya dihantar ke klinik. Penulis mahu ayahanda sihat sejahtera, bukan sakit. Ya Allah, berikanlah kesihatan yang berpanjangan buat ayahanda kesayanganku. peluk

Kalau dulu, penulis sering berkecil hati apabila ayahanda penulis tidak mengizinkan penulis untuk pergi ke mana² atau keluar bersama kawan² tetapi kini penulis berasa janggal bila tidak kedengaran perkataan "Tak boleh, tak diizinkan pergi." Penulis berjanji pada diri sendiri bahawa penulis akan menjadi anak yang taat, penulis takkan merajuk lagi jika ayahanda melarang. Penulis cuma mahu ayahanda sihat selalu.

Penulis tinggalkan segala yang penulis ingini. Penulis pendamkan hasrat untuk menyambung pelajaran, biarlah penulis terus disisi ayahanda walaupun tidak dapat menjadi seorang yang berilmu. Biarlah, penulis redha. Penulis rela korbankan impian penulis asalkan penulis dapat melihat ayahanda setiap hari. Dapat berkhidmat kepada ayahanda bonda adalah perkara terindah di dalam hidup penulis.

Hati ini resah gelisah, risau jika ayahanda tidak sempat melihat penulis berkahwin. Penulis mahu ayahanda walikan pernikahan penulis, alangkah elok kalau ayahanda boleh jadi jurunikah bagi penulis. Penulis mahu ayahanda mengenali suami penulis dan juga bermain dengan anak² penulis. Kalau boleh, penulis juga mahu kedua² adinda penulis dikahwinkan oleh ayahanda bonda kami. Anak² kami dapat bermanja dengan datuk dan neneknya pula. Itu doa dan harapan penulis. doa

Akhirnya, petang tadi penulis telah pergi membeli sebuah katil untuk ayahanda dan bonda. Penulis memilih katil kayu berwarna hitam. Mudah²an ayahanda akan tidur dengan selesa di atas katil baru itu. Katil itu dibeli hasil perkongsian wang kami tiga beradik. Terima kasih adinda²ku diatas kerjasama kalian. Sayang kamu berdua. cium

Penulis tidak berdaya hendak menaip lagi. Airmata makin deras mengalir, lajunya bagai hujan yang turun di musim tengkujuh. Ya Allah, berikanlah kami sekeluarga kebahagiaan di dunia dan akhirat, rezeki yang melimpah ruah dan kesihatan yang baik. Amin.

Jan 2, 2008

Penangan SMS


Jam 11.49 malam, penulis menerima satu sms dari seseorang yang sekian lama menyepi. Penulis kira dia adalah antara orang terakhir yang mengucapkan Selamat Hari Lahir buat penulis. Perasaan penulis bercampur baur antara gembira dan sedih. Sememangnya sms darinya amatlah penulis harapkan. Penulis sama sekali tidak menyangka lintasan hati penulis sebelum itu menjadi kenyataan. nangih


Sewaktu penulis berada di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang dari Bangi, penulis bermonolog di dalam hati. Monolog itu antara lainnya berkaitan dengan dia iaitu sekiranya dia menghantar sms ucapan hari lahir buat penulis, itu bermakna dia masih menyayangi penulis. Alhamdulillah, sms darinya penulis terima dengan selamat. Tetapi penulis tidak tahu perasaannya sewaktu sms itu ditulis. Adakah masih ada rasa sayangnya buat penulis?? Penulis tidak berani bertanya, risau jawapannya mengecewakan. Usah dikenang perkara yang telah berlalu, minda memujuk hati.

Ku doa semoga
ALLAH
myinari
dunia
mu
&
iringi
setiap
lngkahmu
ke arah
jln yg di redhai & beri sgla
yg tbaik
bt mu hari ini, esk & slamany.
Amin. -HAPPY BESDAY-

Penulis cuba menahan air mata dari mengalir tetapi penulis tewas jua akhirnya. Dengan linangan airmata penulis membalas semula sms tersebut. Sepintas lalu, memori lalu terpapar di minda penulis. Detik² indah yang tercipta antara kami menyebabkan mutiara jernih semakin laju menuruni pipi. Penulis tidak mahu melayan perasaan, lantas penulis segera ke kamar tidur. Namun, air mata masih membasahi bantal. Penulis tidak sedar bila penulis tertidur bersama linangan airmata. Buat dia, terima kasih kerana masih sudi mengingati diri ini. Semoga sentiasa dilindungi Allah di mana jua berada. peluk

Jan 1, 2008

Selamat Ulangtahun Kelahiran


Selamat Hari Ulangtahun kelahiran buat diri penulis sendiri. Ucapan ini juga ditujukan buat umi penulis yang juga dilahirkan pada tanggal 1 Januari. Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah Taala yang memberikan usia. Mudah²an bertambah keimanan dan ketaqwaan. Penulis tidak menyambut hari lahir dengan parti. Cuma, terasa gembira juga apabila banyak ucapan yang diberikan ahli keluarga dan teman² menerusi sms dan yahoo messenger. Terima kasih kerana sudi mengingati hari lahir penulis. Doa kalian amat penulis hargai. cium


Hari ini usia penulis bertambah lagi. Penulis sudah menjadi seorang wanita yang matang, bukan lagi kanak² mahu pun remaja. Sewaktu kecil dahulu, penulis mahu cepat menjadi remaja untuk merasai pelbagai keseronokan. Kemudian, dari remaja ingin pula membesar sebagai orang dewasa. Tetapi apabila sudah dewasa, penulis mula merindui zaman kanak² dan remaja. Kini, penulis cuma berharap agar bertemu dengan seorang insan yang sudi menjadikan diri ini sebagai suri hidupnya.

Tidak penulis nafikan, penulis mula gusar dengan persoalan ini. Adakalanya penulis cuba mencari dimana salah silapnya diri sendiri. Hanya Allah tempat penulis mengadu dan meminta pertolongan. Semoga jodoh penulis tiba jua akhirnya. Doa²kanlah penulis. love

Dec 24, 2007

Selamat Hari Ulang Tahun


Tanggal 24 Disember 1987, lahirlah seorang putera pelengkap kehidupan sepasang suami isteri. Mereka menginginkan anak lelaki sebagai penyeri kasih setelah mempunyai dua orang puteri. Justeru, kehadiran ahli baru ini amat menggembirakan mereka. Putera kesayangan ayahanda dan bonda penulis ini dinamakan _________. senyumkenyit


Hari ini hari ulangtahun kelahirannya. Doa dan harapan agar putera ini membesar sebagai seorang lelaki yang beriman, bertaqwa dan mentaati kedua ayahanda dan bondanya. Semoga sentiasa dirahmati Allah jua hendaknya. InsyaAllah. cium

Dec 22, 2007

Mempelai Dua Sejoli


Alhamdulillah. Penulis telah berkesempatan menghadiri majlis walimah seorang sahabat Tranungkite Online (TKO). Pada awalnya kami sekeluarga mahu ke majlis itu tetapi ayahanda penulis pula tidak sihat. Maka, terpaksalah kami tiga beradik saja yang pergi ke sana. Kami bertolak pada jam 2.30 petang dan tiba di sana hampir jam 4.00 petang. Ketika makan, penulis melihat raja sehari sedang makan beradab. senyumkenyit


Kemudiannya, penulis masuk ke dalam rumah dan pergi menemui pengantin perempuan. Sungguh manis rakan penulis ini dengan pakaian pengantin berwarna ungu, sedondon pula dengan suaminya. Wajahnya kelihatan anggun dengan solekan sederhana. Majlis perkahwinannya meriah dengan kehadiran tetamu. Penulis mendoakan agar pernikahan kedua mempelai ini bahagia hingga hujung nyawa. InsyaAllah. Selamat Pengantin Baru buat Nur Fadzila (Are ngah) dan Rahim. cium

Sejurus pulang dari walimah, penulis sempat berkunjung ke rumah seorang sahabat TKO yang lain iaitu Nur Raudah. Penulis pulang ke rumah dengan senyuman terukir di bibir. ihikhik

Credits To Karikatur For The Pictures.

Nov 9, 2007

Mahligai Indah


Alhamdulillah. Hari ini rakan karib penulis telah bertukar status daripada cik kepada puan. Dia telah melangsungkan pernikahan pada 7 November 2007 dan majlis kendurinya diadakan pada hari ini. Penulis dan ahli keluarga yang lain pergi ke kendurinya pada petang tadi. Dia kelihatan manis sekali berbaju kuning air, sedondon dengan suaminya. Senyuman tidak lekang dari bibir kedua² mempelai. cium


Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat pasangan Suhaidawti dan Zaha. Semoga mahligai indah yang dibina berlandaskan cinta kekal bahagia sehingga hujung nyawa. Penulis juga mendoakan agar pasangan ini dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Selamat Pengantin Baru sahabatku. Harapan agar persahabatan kita juga terjalin erat.peluk

Aug 15, 2007

Selamat Hari Lahir Ayahanda


Selamat Hari Lahir Buat Ayahanda Tersayang. Semoga ayahanda sentiasa sihat sejahtera. Semoga ayahanda dimurahkan rezeki. Semoga ayahanda bahagia dunia wal akhirat. Sesungguhnya ayahanda adalah ayah terbaik di dunia ini. Takkan ada galang gantinya. Anakanda dan seluruh ahli keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir Buat Ayahanda. cium


Always There For Your Daughter

Every day the whole year through,
I feel grateful you are my father.
Some fathers don't have time for their kids,
But for you I'm never a bother.

You always make the effort to listen and share;
You're always there when you're needed.
It warms me to know how much you care,
And with that knowledge my worries are defeated.

Dad, you are truly admired and adored,
And as your daughter, I hope that you know,
These sentiments fill me each day of the year,
And my love for you continues to grow.

Happy Birthday! love