Feb 19, 2013

Lancar Mogok Kerana Gaji Pokok


Sekumpulan 500 orang pekerja sebuah kilang pengeluar komponen komputer Kawasan Perindustrian Senai melancarkan mogok mengenai isu penyelarasan gaji asas minimum RM900 yang ditetapkan kerajaan pada awal Januari lalu. Mereka mendakwa pihak syarikat cuba memutarbelitkan fakta berkenaan tanpa memberikan hak mereka yang sebenar.


Suzana Ismail, 41, yang bekerja di kilang berkenaan memaklumkan bahawa pihak pengurusan telah mengeluarkan notis bertarikh 10 Januari bahawa kilang itu akan melaksanakan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM900 bermula 1 Januari 2013. Namun, penyelarasan gaji tidak dilaksanakan malah gaji yang diterima pekerja bagi bulan Januari juga berkurangan.


“Sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan kami mampu meraih pendapatan melebihi RM1,500 termasuk bayaran kerja lebih masa.

“Tetapi selepas penyelarasan dibuat, gaji tetap kami bukan sahaja tidak dinaikkan kepada RM900 malah terdapat pelbagai potongan dilakukan,” katanya.

Lebih mengecewakan, elaun kerja lebih masa dipotong bagi menampung jumlah jam bekerja yang ditukar dari 44 jam kepada 48 jam seminggu tanpa notis awal.

“Kami bertanya mengapa bayaran kerja lebih masa dipotong, mereka memberitahu itu dikira sebagai tempoh asal waktu bekerja bagi melengkapkan jumlah 48 jam.

“Kami tidak berpuashati dengan situasi ini sedangkan sebelum ini waktu bekerja kami dikira lapan jam sehari tetapi ia tiba-tiba ditukar menjadi 7.33 jam selepas penyelarasan gaji baru dilaksanakan.

“Malah kami juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perubahan waktu bekerja dari 44 jam kepada 48 jam,” katanya.

Katanya, mogok akan terus dilakukan sehingga pihak syarikat memberi jaminan bertulis kepada setiap pekerja bahawa gaji asas mereka akan dinaikkan kepada RM900 tidak termasuk elaun atau bayaran kerja lebih masa.

“Masalah ini dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan berharap nasib kami dibela,” katanya.

Selain itu, seorang pekerja warga asing, Sabir Aalam, 23, berkata, selepas penyelarasan dakwanya kekal menerima gaji asas yang sama seperti sebelumnya iaitu RM319 dan hanya menerima gaji RM900 setelah dicampur elaun dan bayaran kerja lebih masa.

“Gaji asas rakan-rakan saya yang bekerja di kilang lain sudah pun dinaikkan kepada RM900, malah mereka menerima gaji melebihi RM1,500 kerana terdapat bayaran kerja lebih masa.

“Saya juga melakukan kerja lebih masa dalam jumlah yang sama namun hanya menerima gaji keseluruhan kira-kira RM900 kerana gaji asas tidak dinaikkan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil pengurusan kilang itu yang enggan dikenali berkata, pihak syarikat telah berusaha mematuhi arahan penyelarasan gaji minimum RM900 dengan membuat pembayaran gaji secara pukul rata (lum sum).

“Pihak syarikat sudah melaksanakan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM900 seperti diarahkan kerajaan melalui pembayaran gaji secara lum sum termasuk elaun dan bayaran lebih masa.

“Pekerja yang sudah bekerja lebih sepuluh tahun juga akan menerima penyelarasan sama kerana kami tidak dapat membuat perubahan penyelarasan dalam jumlah yang besar kerana operasi kilang yang kecil,” katanya.

Sementara itu, Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, M Asojan, pihak JTK dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah ke kilang itu semalam bagi menyiasat masalah yang berlaku.

“Siasatan ini akan disambung semula esok (hari ini) sebelum laporan lengkap dan tindakan lanjut diambil bagi mengatasi masalah ini.

“Setakat ini mogok yang dilancarkan pekerja berjaya disuraikan dan mereka telah bekerja seperti biasa sejak tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Selain itu katanya, pihak majikan dan pekerja perlu memahami mekanisme penyelarasan gaji minimum yang baru supaya masalah yang timbul tidak berlarutan.

Petikan Sinar Harian


Semoga pihak kilang dan pekerja mencapai kata sepakat untk menyelesaikan kemelut yang berlaku di antara mereka. Setiap masalah pasti akan ada jalan penyelesaiannya.

©Eriyza : Pernah kerja kilang satu hari.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.