Mar 11, 2013

Penyamun Terkurung Dalam Kedai Telefon


BATU PAHAT – Biarpun dalam keadaan berlumuran darah serta menahan sakit akibat ditikam di leher dan perut, pemilik kedai telefon berjaya memerangkap penjenayah yang menyamun kedainya. Tindakan peniaga wanita berusia 31 tahun itu mengunci pintu utama automatik kedainya menyebabkan suspek warganegara Vietnam tidak dapat melarikan diri setelah terkurung di kedai berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa menggerang kesakitan bertindak menekan satu butang khas menyebabkan pintu masuk dan keluar kedai telefon bimbit itu tertutup.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang kelmarin, mangsa, Pay Tan Yin, 31, mengalami kecederaan di bahagian leher dan perut akibat ditikam menggunakan pisau lipat di kedainya di Bukit Pasir di sini.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 50-an yang berniaga di kedai berhampiran terkejut apabila dimaklumkan oleh beberapa pelanggan memberitahu kedai mangsa tidak dibuka.

“Saya tahu dia ada di dalam kedai kerana keretanya diparkir di luar. Namun agak menghairankan selepas beberapa pelanggan mengatakan kedai itu ditutup menyebabkan saya pergi untuk memeriksa.

“Saya amat terkejut selepas mendapati pemilik kedai itu terbaring dengan keadaan berlumuran darah di atas lantai kedai itu dan terdapat seorang lelaki dalam keadaan cemas di dalam,” katanya.

Menurut Lim, dia segera mengambil sebatang kayu selain meminta pertolongan orang awam serta menghubungi polis.

Katanya, tindakan pantas polis memecahkan pintu itu di bahagian tepi sebelum menahan lelaki terbabit manakala mangsa dihantar ke Hospital
Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kejadian ini amat mengejutkan kerana sepanjang saya dan mangsa berniaga di kawasan berhampiran sejak lebih dua tahun lalu tiada sebarang kejadian sebegini terjadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan barang bukti yang merupakan pisau lipat berukuran dua setengah inci dipercayai digunakan suspek ketika menikam pemilik kedai telefon bimbit di Bukit Pasir di sini berjaya ditemui ketika siasatan dilakukan di lokasi kejadian.

Jelasnya, kejadian terbabit yang disedari orang awam sebelum menghubungi polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira kurang 10 minit kemudian.

Katanya, siasatan mendapati mangsa, Tan Yin dipercayai bergelut dengan suspek sebelum ditikam, namun mangsa sempat mengunci pintu kedai terbabit dari dalam menyebabkan suspek tidak dapat keluar.

“Mangsa ditikam di bahagian perut sebelah kiri dan lehernya, selain terdapat luka di tangan kiri dihantar ke HSNI untuk mendapatkan rawatan lanjut. Manakala suspek yang juga warganegara Vietnam berusia 20 tahun itu ditahan polis.

“Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan suspek direman bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tan Yin juga dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di HSNI.

Keadaan kedai yang dirompak membabitkan pekedai yang ditikam oleh suspek warga Vietnam.

©Eriyza : Hukum suspek dengan hukuman setimpal.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.