SHAH ALAM, 23 Mei - Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang menggemparkan masyarakat dan mendapat liputan meluas media sejak tiga tahun lepas, akhirnya tiba di penghujung Khamis.
Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya selepas mendapati mereka bersalah melakukan perbuatan itu.
Pathmanabhan bersama T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Hakim Datuk Akhtar Tahir semasa membacakan keputusannya, menyifatkan siasatan polis dalam kes itu 'bertaraf dunia', dan kejayaan menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh tidak sampai dua tahun adalah hasil kerjasama baik yang diterima daripada pendakwaan serta pembelaan yang turut disifatkan beliau sebagai 'bertaraf dunia'.
Berikut adalah kronologi kes pembunuhan itu yang menjadi tumpuan masyarakat:
30 Ogos 2010: Sosilawati bersama Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin dilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan jual beli tanah.
6 Sept 2010: Kereta BMW X5 hitam bernombor pendaftaran WTL 11 yang digunakan Sosilawati pada hari beliau dilaporkan hilang ditemui di tempat letak kereta flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya manakala kereta BMW hitam bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di depan kawasan perumahan teres dua tingkat berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.
9 Sept 2010: Lima suspek ditahan di sebuah ladang di Banting.
11 Sept 2010: Seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya, yang juga seorang peguam, turut ditahan bagi membantu siasatan.
12 Sept 2010: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan keempat-empat individu berkenaan dibunuh dengan kejam sebelum dibakar di sebuah ladang, manakala abu mayat mereka dicampak ke dalam sungai berhampiran.
13 Okt 2010: Pathmanabhan bersama Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.
15 Okt 2010: Mahkamah Majistret Telok Datok menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap U.Suresh dan K.Sarawanan yang mengaku bersalah menghapuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.
21 Feb 2011: Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tujuh tahun penjara kepada 20 tahun ke atas Suresh dan Sarawanan kerana melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.
4 Julai 2011: Perbicaraan kes bunuh bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
3 Nov 2011: Pakar perunding forensik Dr Nurliza Abdullah dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberi keterangan mengesahkan bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di sebuah sungai dan ladang di Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan keempat-empat individu berkenaan, berkemungkinan besar tulang atau gigi manusia.
Beliau juga berkata semua tulang itu menunjukkan kesan pembakaran atau pendedahan pada suhu haba amat tinggi, iaitu sekurang-kurangnya 800 darjah celcius ke atas.
11: Dr Norhayati Jaffar, yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik HKL memberi keterangan mengesahkan tujuh daripada 10 sampel gigi yang ditemui di Sungai Panchau dan Ladang Gadong, adalah gigi manusia.
31 Jan 2012: Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia Lim Kong Boon memberi keterangan mengesahkan profil DNA Noorhisham diperoleh daripada kesan darah pada kayu kriket. Beliau juga mengesahkan profil DNA Kamaruddin dan Ahmad Kamil diperoleh daripada kesan darah pada kepingan zink yang dijumpai di ladang kelapa sawit Sungai Arak, Banting.
30 April 2012: Hakim Akhtar memerintahkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
23 Mei 2013: Hakim Akhtar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas keempat-empat tertuduh selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.
©Eriyza : Semoga keluarga 4 mangsa yang terlibat terus tabah menghadapi hari-hari mendatang.
0 Comment
Post a Comment
Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)
Sila ambil perhatian perkara² berikut :-
1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.