Sep 21, 2013

Makcik Maimunah Terima Ijazah


GEORGETOWN - Seorang warga emas berusia 65 tahun membuktikan usia bukan satu penghalang baginya untuk mencapai kejayaan dalam akademik apabila menerima Ijazah Sarjana Instruksi Multimedia pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-48, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Maimunah Ibrahim, 65, berasal dari Shah Alam, Selangor, gembira apabila menggenggam segulung ijazah sarjana dalam tempoh setahun setengah selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, awal tahun lalu.

Maimunah berkata, keinginannya untuk belajar adalah kerana tidak mendapat peluang sedemikian ketika usia muda sehinggalah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Setiausaha Pejabat Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

“Keinginan untuk belajar tidak akan berhenti dengan genggam ijazah sarjana ini. Malah, saya berhasrat untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi ataupun belajar dalam bidang lain, pada masa akan datang.

“Belajar sepanjang hayat adalah sesuatu ilmu pengetahuan yang sangat bernilai dan bermakna buat selama-lamanya,” katanya kepada media di Dewan Tunku Syed Putra, USM, di sini, semalam.

Selain itu, Maimunah juga berkongsi cabaran yang dihadapi ketika melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan komunikasi tersebut.

Menurutnya, cabaran utama ketika dia melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan komunikasi adalah perbezaan antara sistem pendidikan dahulu dan sekarang, selain penggunaan bahasa Inggeris yang meluas.

“Walau apa juga cabaran saya lalui, keinginan belajar ke peringkat lebih tinggi membuatkan saya mencapai apa diingini.

“Selain itu, rakan-rakan sekuliah sudi membantu, di samping para pensyarah yang tidak jemu-jemu memberi galakan. Maklumlah kursus ini kebanyakan diceburi orang muda.

"Ia membuatkan saya bertenaga dan sentiasa buat yang terbaik dalam setiap tugasan diberikan,” katanya.

Justeru itu, Maimunah juga mendorong golongan seusianya yang masih mempunyai minat melanjutkan pengajian agar berbuat demikian dengan meneruskan niat serta menanam keberanian dalam diri masing-masing bagi menempuh cabaran dalam menuntut ilmu.

©Eriyza : Tahniah Makcik Maimunah kerana berjaya menggenggam segulung ijazah dalam usia emas.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.