Sep 30, 2013

Bumbung Wad Bersalin Hospital Serdang Runtuh


SERDANG – Siling bumbung Hospital Serdang sekali lagi dilaporkan runtuh namun kali ini membabitkan bahagian kaunter jururawat Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah menyebabkan tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita cedera dalam kejadian 2.45 pagi, semalam.


Terdahulu, pada 30 Januari tahun lalu bahagian laluan pintu masuk utama bangunan Hospital Serdang terpaksa ditutup apabila sebahagian siling bumbung di ruang menunggu berkenaan tiba-tiba runtuh sebelum dibaikpulih semula dan siap beberapa bulan selepas itu.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi semalam, 15 siling jenis gantung bersaiz 2’ x 2’ runtuh menyebabkan empat kakitangan yang kebetulan berada di bawahnya mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan belakang badan.

Kejadian kali kedua selepas hospital berkenaan dibuka pada 2005 itu turut menyebabkan seorang petugas perubatan menerima beberapa jahitan apabila serpihan siling terkena kulit tangannya.

Menurutnya, kesemua mereka hanya mengalami kecederaan luaran bagaimanapun meneruskan tugas seperti biasa selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr Ardi Awang berkata, kepingan siling hanya jatuh di atas kaunter merekod pesakit dan tidak melibatkan wad pesakit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden berpunca apabila skru yang mengikat siling di bahagian bumbung tercabut menyebabkan alatan sama patah di bahagian lain.

“Memang bernasib baik lampu di siling tidak jatuh sekali, kalau tidak mungkin keadaan lebih teruk, buat sementara waktu kawasan itu dikosongkan dan kakitangan akan merekodkan keterangan pesakit menggunakan komputer riba.

“Kerja membaik pulih dan penggantian sudah dilaksanakan, dijangka siap petang ini (semalam) juga. Tiada peralatan lain yang mengalami kerosakan cuma kami hanya memindahkan peralatan mengimbas x- ray ke bilik lain,” katanya dalam satu sidang media khas, di sini petang semalam.

Ardi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan skru tercabut yang menjadi faktor kejadian tidak dipasang dengan sempurna.

Katanya, sebelum ini ada beberapa kejadian siling runtuh namun hanya membabitkan beberapa keping sahaja selepas kejadian besar siling runtuh dilaporkan Januari tahun lalu.

“Saya terkejut bagaimana insiden boleh berlaku kerana kita melakukan pemantauan dan pemeriksaan terakhir dilakukan baru-baru ini memang tiada masalah dan tiada tanda-tanda siling itu akan jatuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Katanya, polis dimaklumkan berhubung kejadian kira-kira jam 9 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kita dapati hanya kerosakan kecil berlaku dan tidak melibatkan pesakit berada di wad,” katanya.

©Eriyza : Musim bumbung runtuhkah sekarang??

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.