KEMAMAN - “Gelap mata (hampir pitam) makcik tengok kaki yang teruk melecet seperti terkena minyak panas,” kata seorang nenek, Meryam @ Zainun Kasim, 64, selepas kulit betis kirinya terkoyak akibat terkena jangkitan kuman semasa mengharungi banjir.
Dia meredah banjir separas lutut beberapa kali ketika berpindah dari rumahnya di Kampung Paya Berenjut, Chukai ke masjid kampung itu, sebelum berpindah buat kali kedua ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol berikutan masjid turut ditenggelami air pada Rabu lalu.
Meryam berkata, pada waktu malam ketika berada di sekolah, naik bintik-bintik merah pada betisnya sebelum ia melarat keesokan harinya apabila timbul pula gelembung-gelembung air.
“Lepas dicucuk dengan jarum gelembung air itu, timbul lebih banyak gelembung di sekeliling gelembung yang pecah.
“Gerun pula makcik tengok keadaan kaki sebegini. Sepanjang hayat, tak pernah makcik kena penyakit seperti ini, malah makcik tak pernah ditahan di wad,” katanya yang ditemui di wad wanita Hospital Kemaman, semalam.
Kata ibu tiga anak ini yang bekerja sebagai pembantu kedai keropok, ketika berada di sekolah, doktor yang datang memberi rawatan di pusat pemindahan itu mengarahkannya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kemaman, namun disebabkan laluan di sekitar sekolah masih ditenggelami air, dia hanya dibawa ke hospital Sabtu lalu selepas banjir mulai surut.
“Doktor sahkan kaki makcik dijangkiti kuman, tapi yang peliknya walaupun kaki melecet teruk, makcik tak rasa berdenyut, tak rasa pedih pun. Cuma kalau letak tangan pada betis akan rasa panas.
“Kulit pada betis juga kelihatan sangat nipis. Kulit terkoyak dan nampak isi selepas gelembung air pecah,” katanya yang tidak menghidap penyakit kencing manis.
Sementara itu, anak sulung Meryam, Robiah Mohamad, 45, berkata, imbasan X-ray yang dilakukan doktor, kelmarin, menunjukkan jangkitan kuman pada betis ibunya itu masih belum merebak ke bahagian tulang.
“Kalau lambat dirawat mungkin jangkitan itu akan merebak hingga ke tulang. Dalam keadaan banjir besar, saya terpaksa tunggu banjir surut untuk bawa mak ke hospital.
“Alhamdulillah, selepas beberapa hari duduk di hospital, kulit betis mak yang melecet nampak makin kering, tapi berdasarkan kata doktor mak terpaksa ditahan di wad selama seminggu untuk dimasukkan antibiotik,” katanya.
Robiah berkata, musibah bertimpa yang dilalui keluarganya menyebabkan mereka sekeluarga masih belum sempat membersihkan rumah yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 1.5 meter.
©Eriyza : Semoga makcik ini cepat sembuh.
0 Comment
Post a Comment
Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)
Sila ambil perhatian perkara² berikut :-
1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.