Jan 29, 2008

Hero Kesayanganku


Entah bagaimana bisa penulis luahkan rasa hati ini. Akhir² ini ayahanda penulis kurang sihat. Lututnya sakit dan dia tetap bekerja seperti biasa. Bayangkan di dalam kesakitan yang amat sangat, dia masih juga mahu menyiapkan tugasannya sama seperti hari lain. Jika orang lain, sudah tentu mereka akan mengambil cuti sakit. Semangatnya masih kuat biarpun badannya sakit. Semangatnya itu amat penulis kagumi, sukar untuk dilakukan jika tiada jati diri yang kuat. star


Ayahanda berjalan perlahan dan terhencot². Penulis cuba untuk memegangnya agar dia tidak jatuh tetapi dia berkeras tidak mahu. Luluh hati penulis melihat ayahanda yang dikasihi tetap berusaha berjalan meskipun sakit. Penulis pernah sakit kaki dan penulis tahu bagaimana rasanya sakit itu. Hanya Allah lebih mengetahui, ia tidak dapat diungkapkan dengan perkataan.

Lazimnya ayahanda dan bonda tidur tanpa katil, jadi agak sukar untuk dia bangun dari tilam yang rendah di dalam keadaan begitu. Penulis menawarkan bilik penulis yang mempunyai katil untuk dia tidur tetapi dia tidak mahu kerana katanya bilik penulis jauh dari bilik air. Akhirnya, bilik bujang adinda penulis menjadi persinggahan sementara ayahanda. sedih

Bonda yang setia menemani ayahanda tidur di lantai kerana bilik itu cuma mempunyai katil bujang. Itulah kali pertama ayahanda tidur di dalam bilik anak lelakinya. Menitis airmata penulis mengenangkan kasih sayang kedua ibu bapa penulis. Kasih sayang yang suci murni, tidak bisa ditukar ganti dengan apa² pun. Di dalam sujud akhir penulis, tidak putus² penulis berdoa memohon agar ayahanda kembali sihat seperti sediakala.

Penulis mahu melihat senyuman ayahanda, bukan kerutan menahan sakit. Penulis mahu mendengar gelak ketawa ayahanda, bukan berdiam diri kerana sakit. Penulis mahu mendengar larangannya yang tidak mengizinkan penulis ke mana², bukan arahan supaya dihantar ke klinik. Penulis mahu ayahanda sihat sejahtera, bukan sakit. Ya Allah, berikanlah kesihatan yang berpanjangan buat ayahanda kesayanganku. peluk

Kalau dulu, penulis sering berkecil hati apabila ayahanda penulis tidak mengizinkan penulis untuk pergi ke mana² atau keluar bersama kawan² tetapi kini penulis berasa janggal bila tidak kedengaran perkataan "Tak boleh, tak diizinkan pergi." Penulis berjanji pada diri sendiri bahawa penulis akan menjadi anak yang taat, penulis takkan merajuk lagi jika ayahanda melarang. Penulis cuma mahu ayahanda sihat selalu.

Penulis tinggalkan segala yang penulis ingini. Penulis pendamkan hasrat untuk menyambung pelajaran, biarlah penulis terus disisi ayahanda walaupun tidak dapat menjadi seorang yang berilmu. Biarlah, penulis redha. Penulis rela korbankan impian penulis asalkan penulis dapat melihat ayahanda setiap hari. Dapat berkhidmat kepada ayahanda bonda adalah perkara terindah di dalam hidup penulis.

Hati ini resah gelisah, risau jika ayahanda tidak sempat melihat penulis berkahwin. Penulis mahu ayahanda walikan pernikahan penulis, alangkah elok kalau ayahanda boleh jadi jurunikah bagi penulis. Penulis mahu ayahanda mengenali suami penulis dan juga bermain dengan anak² penulis. Kalau boleh, penulis juga mahu kedua² adinda penulis dikahwinkan oleh ayahanda bonda kami. Anak² kami dapat bermanja dengan datuk dan neneknya pula. Itu doa dan harapan penulis. doa

Akhirnya, petang tadi penulis telah pergi membeli sebuah katil untuk ayahanda dan bonda. Penulis memilih katil kayu berwarna hitam. Mudah²an ayahanda akan tidur dengan selesa di atas katil baru itu. Katil itu dibeli hasil perkongsian wang kami tiga beradik. Terima kasih adinda²ku diatas kerjasama kalian. Sayang kamu berdua. cium

Penulis tidak berdaya hendak menaip lagi. Airmata makin deras mengalir, lajunya bagai hujan yang turun di musim tengkujuh. Ya Allah, berikanlah kami sekeluarga kebahagiaan di dunia dan akhirat, rezeki yang melimpah ruah dan kesihatan yang baik. Amin.

4 Comment

---> kelat Wed Jan 30, 02:19:00 AM

sabo byk2 yek eriyza... skurang2nyer mike beruntung... kerana ayahanda mike ade lagi walo pong tgh saket cemtuh... cam kelat??? huhuhu... ayahanda kelat dah nyahut seruan Ilahi... tahun ni.. masuk ketiga kelat lalui tanpa ayahanda tchenta... huhuhu... moga ayahanda mike sembuh... dan sempat mwalikan mike kelak... amin...

Eriyza Wed Jan 30, 11:44:00 AM

Terima kasih kelat.
Doakan ayahanda saya cepat sembuh.

zakiah Sat Mar 15, 09:04:00 PM

terharunye dengar cite kak...
sy doakan ayah kak cepat sembuh
syafakallah

Eriyza Wed Mar 19, 11:16:00 PM

Amin. :)
Terima kasih Zakiah.

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.