Ummi, syawal lalu pusaramu aku kunjungi lagi. Sudah tidak terhitung dengan jari jemari gebuku sudah kali ke berapa aku ke 'rumahmu' itu. Sungguh, hatiku masih dipagut pilu saat bapak dan anak²mu yang lain mengalunkan bacaan Yassin dan tahlil. Masih bergenang takungan air di kolam mataku saat air mawar aku siramkan perlahan ke makammu. Aku tidak putus-putus berdoa agar rohmu bersama orang² yang soleh.
Ummi, di kala takbir raya berkumandang di angkasa raya, aku melarikan diri ke dalam bilik, menghempaskan diri ke katil. Juraian air mata menuruni hujung mataku. Aku kalah! Aku mengalah! Aku tidak tabah! Aku tenggelam dalam kerinduan padamu yang cuba ku usir dengan susah payah. Ampunkan aku, ummi.
Aku tidak boleh membiarkan wajah sugulku dilihat oleh suami dan anak²mu yang lain kerana aku ibarat pemacu keluarga. Masakan aku yang disifatkan sebagai anak yang keras hati menunjukkan tangisan dengan sedu sedan seteruk ini?? Aku malu, ummi. Malu kerana tidak cekal seperti yang kau harapkan. Malu kerana tidak mampu menahan emosi di hari mulia ini..
Ummi, aku masih meneruskan tradisimu dengan memasak Nasi Minyak sebagai juadah Hari Raya. Masih jelas terbayang di ruangan mata betapa sibuknya dirimu ketika malam raya menjelang. Aku hanya bertindak sebagai pembantu sekaligus pengacau di dapur. Teringat ketika aku dimarahi kerana berlakon sebagai pengacara rancangan memasak manakala dirimu sebagai chef jemputan ketika kita sama² bahu membahu menyediakan makanan untuk pagi raya. Biarpun kau membebel, namun kasih sayangmu masih jelas terpancar. Ummi, momen itu cukup indah untuk dikenang.
Kini, akulah chef utama manakala adinda kedua pula bertindak sebagai pembantu tetapi dia tidak berbakat untuk mengacarakan program masakan seperti aku. Mujurlah dengan bantuannya menyediakan bahan² masakan, maka ringanlah sedikit bebanku. Namun, pengalaman memasak bersamamu masih kekal terpahat di hati sampai aku mati.
Ummi, kata adinda bongsu, skill masakanku semakin hebat. Entah betul atau tidak, tidak aku tahu. Pasti kata²nya sekadar omongan kosong untuk mengampu aku agar memasakkan makanan kegemarannya. Tidak kisahlah ummi, asalkan mereka semua makan dengan gembira. Setiap kali melihat mereka makan bertambah, aku berasa girang. Mungkin kau juga merasai perasaan yang sama saat melihat aku rakus menghabiskan makanan di pinggan.
Aku dapat merasakan sedikit sifat keibuan menyelinap ke tubuhnya. Kalau dulu, aku merengek meminta dirimu memasakkan itu dan ini dan dengan kadar yang segera kau tunaikan jika semua bahan sudah ada. Kini, aku pula yang mengalami situasi yang sama. Aku berasa kasihan apabila suami atau anak²mu meminta aku memasakkan sesuatu, maka dengan segera aku cuba memenuhi permintaan selera mereka. Kini, aku mengerti perasaan seorang ibu yang sentiasa mahu memberikan khidmat terbaik buat keluarganya.
Ummi, di usia yang cukup dewasa ini, aku mengalas tanggungjawab yang kau tinggalkan dengan sedaya upayaku. Aku jauh ketinggalan berbanding kecekapanmu menguruskan rumahtangga, namun aku berusaha menjadikan keluarga ini bahagia seperti adanya dirimu dulu. Mudah²an Allah memberikan aku pertolongan untuk menjadikan rumah ini sebuah 'syurga'.
Ummi, aku masih cinta padamu sejak dulu hingga kini. Semoga Allah mengampuni dosa²mu dan menempatkan rohmu di kalangan hamba yang dikasihinya. Ampunkan dosa²ku padamu wahai ummi kerana aku insan yang tidak sempurna.
0 Comment
Post a Comment
Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)
Sila ambil perhatian perkara² berikut :-
1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.