Repost : Fenomena Abang, Kakak Dan Adik Angkat
via Inspirasi Dari Kisah Benar by admin on 11/4/08
Masa penulis bersekolah dahulu, hubungan adik angkat / abang angkat / kakak angkat sangat popular. Boleh dikatakan hampir 80 peratus dari rakan sekelas penulis mempunyai hubungan seperti itu. Hal ini juga berjangkit kepada penulis. Zaman itu penulis belum mengerti lagi apa rasionalnya hubungan sedemikian. Namun yang pasti, penulis sememangnya pernah mempunyai beberapa orang abang angkat / kakak angkat dan juga adik angkat.
Abang Angkat
Pertama kali penulis memiliki abang angkat ketika berusia 12 tahun. Masa itu penulis dan rakan² seramai enam orang sering berbasikal mengelilingi kampung pada waktu petang. Jadi, kami sering melalui kawasan perumahan di Taman Ghulam. Di situ terdapat sebuah rumah yang disewa oleh sekumpulan pelajar lelaki tingkatan enam atas. Mereka suka mengusik kami. Suatu hari, sewaktu kami melalui kawasan itu, mereka yang juga seramai enam orang telah memanggil kami dan menyatakan hasrat untuk menjadikan kami semua adik² angkat mereka. Setiap orang akan mempunyai seorang abang dan adik angkat. Maka, bermulalah episod abang dan adik angkat antara kami. Menariknya, abang angkat penulis iaitu Shahrul adalah yang paling kacak di antara semua abang² yang ada. Walaubagaimanapun, kami terputus hubungan selepas abang Shahrul menamatkan pelajarannya. Jika abang Shahrul terbaca topik ini, mungkin penulis adalah adik angkatnya beberapa tahun yang lalu.
Ketika penulis berada di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail II, ada sekumpulan pekerja Tioxide telah bergotong-royong membina 4 buah bangsal yang dihadiahkan oleh syarikat mereka untuk sekolah kami. Bertitik tolak dari situlah penulis mendapat pula abang angkat yang bernama Roslan. Sekeping nota ringkas dilayangkan buat penulis untuk menyatakan hasratnya menjadikan penulis sebagai adik angkatnya. Sehingga ke hari ini, penulis masih berhubung dengan abang Lan yang telah pun berkeluarga.
Kakak Angkat
Penulis mempunyai seorang kakak angkat bernama Mastura. Ketika itu, dia di Darjah Enam manakala penlis pula di Darjah Lima. Dia seorang yang baik dan sangat mengambil berat tentang penulis. Dia pengawas tetapi penulis cuma pelajar biasa. Justeru, jika penulis datang lewat ke sekolah, penulis tidak akan ditulis nama jika dia bertugas mengawal pintu pagar. Penulis tak bagi rasuah pun kat dia. Bukankah kami adik beradik angkat?? Hehehe!!!
Salmiwana, nama seindah orangnya adalah kakak angkat penulis yang cuma tinggal kira-kira 100 meter dari rumah penulis. Dia merupakan anak seorang inspektor polis yang baru berpindah ke kediaman polis pada ketika itu. Penulis berusia 14 tahun ketika berkenalan dengannya. Dia sering bertandang ke rumah penulis dan dari situlah kami mula rapat lantas menjadi adik-beradik angkat. Malangnya, hubungan kami semakin renggang selepas dia salah faham terhadap penulis. Walau apa pun, penulis berharap dia bahagia di samping suami dan anak-anaknya.
Adik Angkat
Entah kenapa penulis mempunyai mempunyai ramai adik angkat dahulu. Kebanyakannya bukan penulis yang cari kecuali 2 orang sahaja yang penulis tertarik dengan peribadinya. Mereka ialah Aliff Ridhuan Khalid dan Gina Marie Jaleh. Selebihnya mereka yang datang sendiri kepada penulis dan mahu menjadikan penulis sebagai kakak angkat mereka. Antara nama yang penulis ingat ialah Nurul Hadi, Syam, Zamani dan Natalia. Beberapa orang lagi sudah penulis lupa namanya kerana ianya sudah terlalu lama berlalu. Menariknya, sebahagian daripada adik-adik angkat penulis adalah atlit sekolah sedangkan penulis jarang sekali bersukan. Seperti biasa, kami putus hubungan selepas tamat persekolahan. Cuma Nurul Hadi masih penulis temui meskipun tidak sekerap mana.
Anak Angkat
Sewaktu penulis menjadi Guru Sambilan Tidak Terlatih di Sekolah Kebangsaan Ibok, penulis telah diberi dua orang pelajar sebagai anak angkat untuk dipantau pelajaran mereka. Mereka ialah Mohd Izzat Afifi dan juga Mohd Shahrul. Setelah hampir lima tahun meninggalkan sekolah tersebut, penulis sudah tidak mengetahui berita terkini tentang mereka. Doa dan harapan agar mereka sentiasa sukses di dalam semua bidang.
Begitulah serba ringkas kisah penulis bersama abang angkat / kakak angkat / adik angkat dan anak angkat. Kini penulis sudah tidak berminat untuk mempunyai abang angkat / kakak angkat atau adik angkat kerana penulis lebih selesa untuk menjadi sahabat. Bagaimana pula dengan kamu?? Adakah kamu juga pernah mempunyai hubungan seperti ini?? Mari kongsikan bersama.
0 Comment
Post a Comment
Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)
Sila ambil perhatian perkara² berikut :-
1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.