Nov 24, 2011

Minta Cepat, Diberi Lambat


Repost : Minta Cepat, Diberi Lambat
via Inspirasi Dari Kisah Benar by admin on 11/16/08

Suatu hari, seorang anak berbual dengan ibunya. Antara lain, dialog yang dituturkan adalah seperti berikut.

“Mi, beli beskal se.”

“Bakpe pulok?? Tak mboh gi sekoloh naik ven doh ke??”

“Lening kelah tambohan mula doh. Ven dok tunggu kalu balik lambak.”

“Dakpelah. Kekgi mi kabo ke apak.”


Si anak berlalu pergi. Hatinya berbunga riang. Di benaknya, pasti esok atau lusa sebiji basikal baru akan berada di halaman rumah. Tentu saja dia boleh melaram dengan basikal baru itu. Kali ini dia pasti akan menyertai rakan-rakannya yang lain berbasikal ke sekolah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menanti tibanya hari itu.

Keesokan harinya, si anak berlari-lari anak sebaik keluar dari pintu van. Beg sekolah segera dicampak setibanya di depan pintu rumah. Si anak mencari-cari kelibat basikal baru di halaman rumahnya. Namun hampa. Cuma basikal lama milik ayahnya yang ada. Dia fikir tentu kedua ibu bapanya menyorok basikal itu dari pandangannya. Agaknya satu kejutan ingin diberikan kepadanya. Si anak terus mencari-cari di dalam rumah dan di dapur, namun kecewa. Dia bergegas mendapatkan ibunya. Sungguh hancur hatinya apabila diberitahu bahawa permintaannya belum ditunaikan.

Si anak lari masuk ke dalam bilik. Terasa dirinya tidak disayangi lagi. Dia menangis tersedu-sedan. Dia mogok lapar. Mengaji pun dia tidak pergi. Biarlah ayahnya marah. Mungkin juga dia akan dirotan kerana ponteng mengaji. Dia rela. Dia cukup sedih. Ketika itu, dia hanya mahu menangis untuk melepaskan kekecewaannya.

Seminggu berlalu. Basikal itu belum juga nampak kelibatnya. Si anak berputus harapan. Dia meneruskan persekolahannya seperti biasa. Rasa sedihnya sudah dilempar jauh. Tidak mahu diingati lagi hajatnya yang satu itu. Pada minggu kedua, si anak sedang ralit menyiapkan kerja rumah. Ayahnya menghampiri dan berkata sesuatu kepadanya.

“Meh, ikut apak gi kedai.”

“Nok beli menda??”

“Ikut jelah.”

Si anak menonong membonceng basikal milik ayahnya. Dia mula tersenyum lebar apabila mendapati lokasi yang ditujui adalah sebuah kedai basikal. Ayahnya memberi kebenaran kepadanya untuk memilih sendiri jenama dan warna basikal yang dikehendaki. Dia akhirnya memilih sebuah basikal berpalang yang berwarna biru.

Selepas membayar harga basikal, mereka beriringan pulang ke rumah. Kemudian, dia dimaklumkan bahawa permintaannya lambat ditunaikan kerana dia perlu bersabar untuk mendapatkan sesuatu. Ada masanya setiap keinginan tidak boleh dipenuhi serta-merta melainkan ianya terlalu penting. Meskipun pada ketika itu, si bapa punya wang di tangan tetapi mungkin ada hal lain yang perlu dilunaskan terlebih dahulu sebelum memenuhi kehendak anak. Kini, fahamlah si anak tentang erti sebuah kesabaran. Sejurus, si anak menyesali persangkaan buruknya sebelum ini.

Nikmat memiliki sesuatu selepas bersabar sukar digambarkan dengan perkataan. Si anak menggunakan basikalnya untuk ke sekolah, mengaji dan juga membawa adik-adiknya bersiar-siar. Kini, basikal itu sudah menjadi besi buruk dan si anak itu juga telah dewasa. Namun, dia masih mengamalkan konsep bersabar di dalam kehidupannya sebelum sesuatu berjaya dimiliki dan antara sesuatu yang masih ditunggu dengan sabar ialah teman hidup yang akan menemaninya di sepanjang kehidupan. :)

Bagaimana pula dengan kamu?? Adakah kedua ibu bapa kamu segera menunaikan permintaan kamu jika kamu menginginkan sesuatu?? Adakah kamu juga perlu bersabar sebelum mendapat sesuatu??

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.