Aug 13, 2012

Hancur Tangan Kerana Eksperimen Mercun


Dua orang pemuda sengaja mencari nahas apabila cuba meletupkan 20 mercun bola yang telah diubahsuai di dalam bekas plastik di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, Kelantan. Eksperimen mercun itu mereka lakukan pada jam 12.50 tengah hari bukan sahaja gagal malah menyebabkan Mohd Shahril Affendi, 20, hancur di pergelangan tangan kanan manakala Mohd Ahmad Ismail, 19, melecur di bahagian badan dan kabur kedua-dua mata kiri dan kanan.


Mereka dipercayai mengumpulkan 20 biji mercun bola dalam sebuah bekas plastik lalu Mohd Shahril cuba mencucuh sumbunya, tetapi tidak menyala dan sekali lagi mencuba sebelum mercun itu meletup. Kedua-duanya dipercayai bekerja sebagai pengangkut barang di kawasan terbabit telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan susulan.


Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil, namun mengalami kecederaan parah.

“Kini mangsa dirujuk di unit kecemasan hospital sebelum dipindahkan ke wad biasa. Dipercayai kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pangkal Dalam, Pasir Mas,” katanya.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa enggan ditemubual ketika Sinar Harian cuba mendapatkan mereka di wad kecemasan terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dari pihak hospital.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 selain dipenjara lima tahu atau dikenakan denda RM 10,000.

“Saya nasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melanggar undang-undang kerana bermain mercun bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah orang lain kerana ia bakal mengundang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Kejadian terbabit merupakan kes keempat di negeri ini, selepas kejadian di Gua Musang, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Petikan Sinar Harian


Sudah banyak tragedi mercun bola terpapar di dada akhbar, masih ada juga yang terus mencari nahas dengan melakukan ubahsuai sebelum membakarnya.

©Eriyza : Tidak pernah main mercun bola.

Via : Harian Metro | Sinar Harian


0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.