Feb 16, 2013

Tahi Bintang Jatuh Di Russia


Pada hari Jumaat, 15 Februari 2013, masyarakat dunia dikejutkan dengan khabar bahawa sebutir meteor atau tahi bintang telah jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, kira-kira 1,500 kilometer dari Moscow, Russia. Bencana pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan mengakibatkan 1,000 orang cedera manakala banyak bangunan rosak teruk.







Kebanyakan daripada mangsa termasuk kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan ekoran impak letupan sebaik sahaja tahi bintang itu menghentam bumi.

Kuasa perlanggaran tahi bintang yang dianggarkan seberat 11 tan metrik itu telah merosakkan banyak bangunan di enam buah bandar di wilayah Oblasts.

Ketika kejadian, sebahagian penduduk dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerja.

Menurut seorang koresponden agensi berita Reuters, ramai penduduk dapat menyaksikan cahaya yang terang bergerak laju sebelum kelihatan ledakan cahaya yang diikuti letupan.

Impak letupan itu menyebabkan penggera banyak kenderaan berbunyi, tingkap bangunan pecah dan gangguan pada perkhidmatan telefon bimbit.

Pejabat gabenor tempatan dalam satu kenyataan menyatakan, tahi bintang yang bergerak pada kelajuan 54,000 kilometer sejam itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat bandar Chebakul, kira-kira 60 kilometer dari Chelyabinsk.

Bagaimanapun, serpihannya belum ditemui.

Sekolah-sekolah ditutup selama sehari dan pertunjukan teater dibatalkan di wilayah tersebut selepas gelombang kejutan itu berlaku ketika suhu berada pada paras 18 darjah Celsius.

Sebuah stadium hoki ais di Chelyabinsk turut rosak menyebabkan satu perlawanan terpaksa dibatalkan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov menyatakan, mereka yang cedera telah mendapatkan rawatan perubatan selepas tahi bintang tersebut jatuh dan meletup.

Kolesnikov menjelaskan, bumbung sebuah kilang zink turut runtuh.

Rakaman video amatur yang disiarkan di televisyen Rusia menunjukkan sebuah objek bergerak dengan laju di langit pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan.

Objek itu meninggalkan kepulan seperti awan putih yang tebal dan boleh dilihat dari jarak sejauh 200 kilometer.

Tahi bintang itu jatuh pada hari yang sama sebuah asteroid 2012 DA14 yang sebesar separuh padang bola sepak bergerak mendekati bumi pada kedudukan 28,000 kilometer.

Serpihan kecil komet atau asteroid yang bergerak dalam sistem suria dikenali sebagai meteoroid.

Apabila meteoroid memasuki atmosfera bumi, ia dikenali sebagai tahi bintang.

Kebanyakan tahi bintang terbakar di atmosfera.

Seorang saksi, Sergey Hametov berkata, penduduk berasa panik semasa letupan itu berlaku.

"Kami mendengar bunyi gemuruh yang kuat," katanya kepada agensi berita Associated Press.

Seorang lagi penduduk, Valya Kazakov menyatakan, beberapa wanita tua menangis kerana menyangka hari kiamat.

Seorang penduduk di Yekaterinburg di kawasan pergunungan Ural, Viktor Prokofiev menyatakan, ketika kejadian dia sedang memandu untuk pergi ke tempat kerja.

"Persekitaran gelap tiba-tiba cerah seperti hari siang.

"Saya berasa seperti 'buta' disebabkan cahaya terlampau terang," katanya.

Bagaimanapun, pemimpin nasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky yakin letupan itu bukan impak tahi bintang tetapi senjata baharu Amerika Syarikat, lapor agensi berita RIA Novosti.

Petikan Kosmo!


Pelbagai bencana alam sudah ditunjukkan kepada kita, sampai bila lagi kita mahu terus leka dibuai dunia?? Ayuh, berubah!

©Eriyza : Allah Maha Besar!

Via : Kosmo! | Yahoo!


0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.