Jun 29, 2013

Pelajar Perempuan Dibelasah Dek Jiran


KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak berpuas hati dengan kedua ibu bapanya, seorang pelajar perempuan tingkatan dua menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah dengan kerusi oleh jirannya, dalam satu kejadian di Kampung Pengkalan Setar, Gelugor Kedai, Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, suspek, 33, turut meludah ke arah mangsa, 14, sambil memaki hamun dan menolak kepalanya yang ketika itu sedang menunggu bas untuk ke sekolah.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan iaitu bengkak mulut manakala gigi di bahagian hadapan patah akibat dipukul dengan kerusi plastik yang diambil suspek dari sebuah warung berhampiran.

Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan identitinya didedahkan, kejadian dipercayai berpunca dendam lama kerana suspek yang juga seorang suri rumah sebelum ini pernah meluahkan ketidakpuasan hatinya berhubung isu tanah milik ibu bapa mangsa.

“Sudah hampir dua tahun dia (suspek) menyimpan perasaan tidak puas hati kepada keluarga kami yang dipercayai isu tanah, iaitu tapak rumah sekarang.

“Sepanjang dua tahun ini, boleh dikatakan hampir selang sehari, dia akan membuat kacau di hadapan rumah dengan memaki hamun keluarga kami dengan bahasa agak kasar, tetapi kami abaikan sahaja,” katanya.

Sebelum ini, keluarganya beberapa kali membuat laporan polis kerana suspek mengeluarkan kata-kata ugutan akan mencederakan salah seorang ahli keluarga jika masalah tanah itu tidak diselesaikan.

“Kerana takut dengan ugutan itu yang diluahkan secara berdepan, kami nekad membuat laporan polis tetapi sekadar pemberitahuan untuk melindungi keluarga jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Kami memang tidak benarkan pihak polis mengambil sebarang tindakan kepadanya kerana kasihan dengan keadaannya yang memiliki seorang anak berusia lapan bulan yang sedang menyusu badan,” katanya.

Bagaimanapun, ahli keluarga itu tidak menyangka suspek tergamak melepaskan geram dan dendamnya terhadap mangsa yang masih mentah dan tidak tahu apa-apa.

“Lebih menyedihkan, ketika diserang, mangsa, sedang menunggu bas untuk ke sekolah kerana dia bersekolah sesi petang.

“Dalam keadaan berpakaian uniform itu, dia dipukul tanpa belas kasihan, diludah, dimaki hamun dan ditolak kepalanya dengan kuat sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Dakwanya lagi, susulan kejadian, mangsa kini masih trauma untuk ke sekolah dan malu kepada rakan-rakannya yang melihat kejadian itu.

Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Chabang Tiga beberapa jam selepas mangsa dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

©Eriyza : Sungguh tidak berperikemanusiaan manusia yang berperangai sedemikian.

Via : Sinar Harian



2 Comment

akang sam Sat Jun 29, 11:00:00 PM

kita bertemu karena ilmu dan kita berpisah karena apa? ^_^,heee
http://samboedy.blogspot.com/search/label/online%20business

Eriyza Fri Jul 19, 05:23:00 PM

@Akang Budi:
Terima kasih kerana melawat.

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.