Jul 25, 2013

Keputusan Rasmi PRK Kuala Besut


KUALA BESUT – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut apabila calonnya Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof pada pilihan raya kecil (PRK), Rabu.

.

Dengan kemenangan itu BN mengukuhkan kembali kedudukannya di Terengganu dengan majoriti mudah 17-15 sebagaimana yang dimenangai pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, sekali gus menafikan hasrat PAS untuk mencipta sejarah kedudukan 16-16 kerusi DUN di negeri itu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk PRK DUN Kuala Besut, A. Rahim Jusoh ketika mengumumkan keputusan rasmi itu berkata daripada 14,108 atau 80 peratus yang keluar mengundi, sebanyak 8,288 undi diberikan kepada BN dan 5,696 undi kepada PAS manakala undi rosak 125 undi.

Katanya, untuk PRK kali ini 13,188 merupakan pengundi biasa, 911 (pengundi awal) manakala sembilan orang lagi merupakan pengundi pos.


Kemenangan BN itu sekali lagi mengulangi sejarah 34 tahun lepas apabila BN menewaskan PAS pada PRK yang juga berlangsung pada bulan Ramadan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan BN itu satu petanda sokongan rakyat terhadap BN dan keyakinan rakyat kepada kerajaan sedia ada untuk membela nasib rakyat Terengganu.

Muhyiddin, yang juga Pengarah PRK BN Kuala Besut, berkata walaupun berhadapan cabaran kempen pada bulan Ramadan, namun pendekatan ‘man marking’ mampu memberi impak positif kepada pengundi dan lebih membanggakan kali ini BN menang di kesemua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding hanya enam PDM sebelum ini.


“Dengan kemenangan ini BN memberi jaminan segala projek yang telah dirancang di Kuala Besut akan disegerakan termasuk projek mendalamkan muara Sungai Besut yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bernilai RM250 juta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Majlis Daerah Besut.

Mengulas tentang jumlah majoriti yang diperoleh calon BN, beliau berkata walaupun peratusan mengundi menurun, namun BN masih mampu untuk menambah jumlah majoriti berbanding majoriti yang diperolehnya pada PRU13 lalu.

Menurutnya, kejayaan BN di Kuala Besut adalah atas kerjasama padu jentera parti di peringkat pusat dan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan anggota Parlimen Besut selaku Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

©Eriyza : Tahniah kepada Yang Berhormat Tengku Zaihan.

Via : MyNewsHub | Media UMNO



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.