Nov 25, 2011

Luahan Hati Ahmad Fakri Saarani

Photo by Seladang.Net

Belum sampai seminggu kilauan emas digenggam oleh kontinjen bola sepak negara yang menjuarai Sea Games 2011 di Indonesia, masih ada lagi berita kurang enak yang dilemparkan kepada anak² buah Ong Kim Swee. Pemain yang paling banyak menerima kritikan peminat sukan nombor satu di dunia itu tentulah Ahmad Fakri Saarani. Beliau yang ternyata berkecil hati dengan tohmahan liar terhadapnya telah meluahkan isi hatinya kepada penulis wartawan, Nan Hidayat Nan Azmie.

Berikut sedutan rintihan perasaan figura bernama Ahmad Fakri Saarani yang memohon pengertian rakyat Malaysia seluruhnya.

“SAYA juga ada perasaan, sesiapa pun pastinya terkilan jika dikutuk sebegitu rupa.“Mulut orang memang susah nak ditutup, jadi saya tidak peduli dengan kutukan itu dan menganggapnya sebagai suatu cabaran buat saya.”

Demikian respons ringkas penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Saaraini ketika menjawab segala tohmahan dan kejian yang dihamburkan kepadanya ketika ini.

Kegagalan Ahmad Fakri, 22, dalam menyempurnakan beberapa peluang terhidang ketika tewas 0-2 kepada Syria dalam aksi kelayakan Olimpik Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, ternyata mengundang kemarahan majoriti peminat fanatik bola sepak tempatan yang lantang mengecam pemain Negeri Sembilan itu secara terbuka, tidak kira dari tepi padang mahupun di laman sosial Facebook.

Ternyata, peminat tempatan masih belum dapat melupakan ‘dosa’ Ahmad Fakri yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Indonesia sekali gus mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini.

Sama ada sedar atau pun tidak, mungkin ada yang terlupa dengan jasa pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang berjaya meledak gol tunggal ketika menewaskan Myanmar pada pusingan separuh akhir, sekali gus menempah slot untuk beraksi di final Sukan SEA 2011.

Malah, mungkin ramai juga yang tidak percaya betapa Ahmad Fakri sebenarnya merupakan antara penyerang termuda terbaik yang dimiliki negara selain Thamil Arasu ketika ini, gara-gara kecederaan yang menimpa Syahrul Azwari Ibrahim dan Izzaq Faris Ramlan.

“Apa salah saya sebenarnya? Bukannya saya sengaja tidak mahu menjaringkan gol, cuma saya kurang bernasib baik.

“Hendak kutuk pun biarlah berpada-pada dan ada batasnya, namun setakat ini saya masih mampu bersabar,” katanya kecewa.

Menurut Ahmad Fakri, dia berazam untuk membuktikan sesuatu sekiranya diturunkan Ong Kim Swee ketika menentang Bahrain, Ahad ini.

“Jika saya berjaya menjaringkan gol ketika menentang Bahrain nanti, sudah tentu ia memberikan moti- vasi yang lebih baik buat saya.

“Cuma pada masa sama, saya tetap berharap supaya penyokong faham dengan kesungguhan saya setiap kali beraksi. Cuba bayangkan jika mereka berada di tempat saya, sudah tentu ia tidak semudah dijangkakan,” katanya yang memohon dimengertikan.

Tentu ada kelebihan pemain ini di mata Ong Kim Swee sehingga diserap ke skuad Harimau Muda walaupun masih ada ramai lagi pemain berbakat di luar sana. Sudah menjadi lumrah manusia, apabila seseorang itu berjaya menyempurnakan tugasan, dipuji melambung tinggi tetapi jika gagal melaksanakan kerja, diperli tanpa tapisan lagi. Mentaliti ini perlu diubah agar para atlit boleh bermain tanpa tekanan.

©Eriyza : Jika Ahmad Fakri Saarani tersinggah ke blog ini, penulis memohon maaf kerana memarahinya ketika gagal menyempurnakan sepakan penalti walhal kalau penulis yang mengambil sepakan tersebut, tentunya bola terus ke dakapan Kurnia Meiga Hermansyah. Justeru, cukuplah menghamburkan kemarahan kepada Ahmad Fakri kerana di sebalik kelemahannya, terpahat sejarah bahawa dialah penjaring gol ketika menentang Myanmar yang sekaligus melayakkan Malaysia ke peringkat akhir bola sepak.

Via : Kosmo

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.