Jun 17, 2012

Budak Mati Pada Hari Jadi


Seorang pelajar Tahun Satu, Muhammad Faris Faizal Noor Hissham dari Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung, Pasir Mas terbunuh setelah tertembak pistol milik bapa saudaranya, Saufi Abd Wahab, 42. Peluru daripada pistol jenis Walter itu telah menembusi kepalanya malah turut mengenai dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32. Kes malang ini berlaku di rumah neneknya di Ketereh setelah selesai majlis kenduri kahwin ibu saudaranya, Syakirah Rifa’in, 25. Mangsa sempat menyambut hari jadinya secara kecil-kecilan beberapa jam sebelum nahas ini berlaku.


Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh, manakala Helmi yang juga kerani dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).


Jenazah Muhammad Faris yang juga anak sulung daripada dua beradik dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang semalam.

Ibu Muhammad Faris, Fadhilah Rifa’in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya dan pada masa sama sempat menyambut hari lahir anaknya dengan majlis kecil-kecilan.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di luar rumah mengemas meja dan kerusi sementara menanti pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan adiknya.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Sebaik masuk ke rumah, saya lihat anak saya terkulai di di atas lantai.

“Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPZ II, semalam.

Menurutnya, anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, masih terngiang-ngiang keletah anaknya apabila secara tiba-tiba bersolat sambil menjadi imam kepada adik lelakinya berusia lima tahun untuk tempoh tujuh hari berturut-turut, seminggu sebelum kejadian.

“Sambil bersolat, anak saya meletakkan buku panduan solat di depannya sambil membaca beberapa bacaan solat di dalam buku itu.

“Masih terngiang-ngiang juga betapa arwah anak yang baik apabila membentang ‘selimut toto’ setiap kali hendak tidur dan menyediakan pinggan untuk meletakkan makanan setiap kali pulang daripada pasar malam,” katanya sebak.

Fadhilah yang juga guru Yayasan Islam Kelantan dan mengajar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah di Pasir Mas berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya turut mengungkapkan ayat yang membuatkan dia terharu.

“Anak saya menyebut ‘kalau umi ada masalah, umi bagitahulah’.

“Betapa terharunya saya apabila anak sekecil itu mampu mengungkapkan ayat sedemikian kepada ibunya,” katanya.

Menurutnya, anaknya bijak kerana ketika berusia lima tahun sudah pandai membaca akhbar.

“Pelajarannya juga cemerlang sehingga guru dan guru besar bertanya apa rahsia saya memiliki anak sebijak itu. Apapun, saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam dan dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan diam.

Petikan Harian Metro


Takziah buat keluarga arwah adik Muhammad Faris Faizal. Semoga tabah menghadapi ujian Allah. Al-Fatihah!

©Eriyza : Anggota polis perlu lebih berhati-hati ketika menyimpan pistol mereka supaya kes seperti ini tidak berulang lagi.

Via : Harian Metro

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.