Jan 24, 2013

Anak Dilarikan Penjenayah Ketika Emak Ke Tandas


Sepasang ibu bapa, Zailani Mohd Shah, 43, dan Sarina Husin, 37 hampir kehilangan anak bongsu mereka apabila kanak-kanak itu dilarikan bersama kenderaan pacuan 4 roda Mitsubishi Storm milik mereka. Insiden itu berlaku ketika mereka berhenti di stesen minyak Petronas, Bukit Kuang, kira-kira jam 10.30 pagi semalam untuk membuang air.

Pasangan itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Baru Kerteh ke Bandar Chukai untuk membeli barangan dapur dan singgah di stesen minyak berkenaan untuk ke tandas. Mereka meninggalkan Muhammad Darwish Aniq, 3, di dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin kerana anak mereka sedang tidur di tempat duduk belakang.


“Ketika itu, anak sedang tidur di tempat duduk belakang dan saya tandas. Tak sangka belum sempat keluar, suami turut masuk ke tandas. Sebaik keluar tandas dan menghampiri kenderaan, tiba-tiba ia bergerak.

“Saya kejar kenderaan sambil ketuk tingkap kerana sangka suami berada didalam, tetapi ia semakin laju dan meluru memasuki jalan menghala ke Kerteh,” katanya sambil mengakui cermin kenderaan yang gelap membuatkannya tidak nampak wajah pemandu.

Mengesyaki sesuatu yang buruk, ibu empat anak ini segera meluru ke tandas dan memanggil nama suaminya dan mendapati suaminya berada dalam tandas.

Kata Sarina, dalam kekalutan itu, seorang pemuda, Saufi Sukardi, 21, yang secara kebetulan berhenti di situ untuk mengisi minyak terdengar jeritannya yang meminta tolong lalu mengajaknya dan suami mengejar kenderaan mereka yang dilarikan itu.

Sementara itu, kata Zailani, ketika mengejar mangsa, dia sempat menghubungi talian 999 untuk meminta pertolongan dan mereka mengejar sehingga ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik.

“Dalam kepala, waktu itu saya hanya fikirkan keselamatan anak, saya tidak fikirkan soal kenderaan yang dicuri. Kami kejar hingga ke IKBN Kemasik dan beberapa minit selepas itu, sepasukan enam anggota polis yang menaiki sebuah kenderaan memintas kenderaan dinaiki kami untuk mengejar penjenayah itu,” katanya.

Sejurus kemudian, dia menerima panggilan daripada polis memaklumkan kereta mereka dijumpai dan suspek yang melarikan kenderaan juga berjaya ditahan di Jalan Santong, Paka, Dungun kira-kira jam 11.30 pagi.

Dia dan isteri sangat bersyukur apabila mendapati anak mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada polis yang cepat dan cekap bertindak sehingga anak kami berjaya diselamatkan. Terima kasih juga kepada Encik Saufi yang sudi membantu pada saat kami melalui detik sukar ini,” katanya.

Petikan Sinar Harian


Syukur kepada Allah kerana anak pasangan ini tidak sempat dibawa jauh oleh penculik. Tahniah kepada polis kerana berjaya memberkas penjenayah dalam waktu yang singkat.

©Eriyza : Tidak menggelapkan cermin kereta walaupun pernah berkeinginan berbuat demikian.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.