Feb 23, 2013

Mata Kail Tidak Tanggal


Seorang guru yang baru bersalin nyaris tertelan mata kail ketika makan hidangan nasi bungkus berlauk singgang ikan haruan yang dibeli oleh suaminya, Abdul Rizal Anzah, 35, di kafe Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS). Guru wanita yang bersalin enam hari lalu itu menikmati juadah berkenaan pada pukul 6.45 petang, Rabu lalu di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), HoSHAS.


Mujurlah pasangan itu terpandang mata kail yang masih terlekat pada ikan haruan berkenaan. Mereka segera memaklumkan perkara itu kepada kakitangan hospital sebelum diarahkan bertemu pengusaha cafe itu.


“Isteri saya baru makan tiga suap nasi dan ketika mahu meneruskan suapan seterusnya, kami terpandang mata kail yang masih terlekat pada kepala ikan haruan itu.

“Kami berdua sangat terkejut dan mengambil beberapa gambar mata kail berkenaan dengan telefon bimbit sebelum bertanyakan hal tersebut kepada kakitangan hospital bertugas," katanya.

Abdul Rizal berkata, hasil nasihat kakitangan berkenaan, beliau segera ke kafe untuk bertemu pengurusnya namun hampa kerana tiada respons selepas lima minit menunggu.

"Kerana kecewa, saya kemudian menulis laporan lengkap mengenai penemuan mata kail dalam makanan tersebut sebelum memasukkannya dalam peti cadangan di lobi HosHAS.

"Saya juga membuat laporan polis kira-kira jam 12.05 pagi, selain mengirimkan e-mel kepada pengurusan Hoshas berhubung perkara itu," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga tengah hari semalam, beliau tidak menerima sebarang respons mengenai perkara tersebut sehingga terpaksa membuat kenyataan media.

“Saya bukan hendak mencari publisiti, kalau boleh saya tidak mahu perkara ini berpanjangan tetapi pihak terbabit gagal memberikan kerjasama selain tidak memberi respons terhadap masalah yang berlaku.

"Tahap kebersihan makanan di kafe berkenaan wajar dipersoalkan kerana jika ikan haruan berkenaan dibersihkan dengan teliti tentunya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, nyawa isterinya mungkin terancam sekiranya tertelan mata kail tersebut.

"Nasib baik kami nampak, kalau tidak mungkin isteri tertelan mata kail itu dan tentunya perkara lebih sulit berlaku kerana ia mungkin melibatkan nyawa," katanya.

Sementara itu Pengarah Hoshas, Datuk Dr Bahari Awang Ngah mengesahkan ada menerima emel daripada Abdul Rizal mengenai perkara tersebut dan sedang melakukan siasatan mengenai kejadian.

"Jika benar berlaku, ia sememangnya tidak patut dan bagaimanapun, kita sedang menyiasat perkara itu," katanya.

Petikan Sinar Harian


Adalah menjadi kemestian untuk memastikan ikan yang bakal disajikan kepada pelanggan dicuci dengan bersih sebelum dimasak. Bukannya dicuci luarannya sahaja tanpa memerhatikan kotoran dalam badan ikan.

©Eriyza : Pernah makan ikan haruan.

Via : Sinar Harian

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.