Sep 23, 2013

Polis Diserang Dengan Parang


PEKAN – Tindakan agresif seorang lelaki yang cuba melibas parang ke arah beberapa anggota polis ketika cuba ditahan berakhir dengan tembakan mengenai perut dan dadanya kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek lelaki berusia 45 tahun itu dikepung oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Pekan selepas berjaya meloloskan diri ketika serbuan pertama pada jam 3 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, polis menerima maklumat daripada Ketua Polis Balai Chini mengenai laporan kecurian buah sawit yang dilaporkan orang awam sebelum membuat pemeriksaan di kawasan ladang kelapa sawit Felda Chini 2.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan menyebabkan suspek dan beberapa lelaki yang sedang berkumpul di sebuah ‘port’ yang juga menjadi sarang penagihan dadah bertempiaran lari sebelum berjaya ditahan polis.

“Ketika dibawa ke sebuah van (dipercayai miliknya) yang terletak berhampiran untuk diperiksa, suspek tiba-tiba mencapai sebilah parang panjang yang diletakkan di kerusi penumpang dan melibas ke arah anggota polis.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan van berkenaan sebelum kembali berjaya dikesan di sebuah lokasi di Jalan Dara, Chini, kira-kira 200 meter dari Balai Polis Chini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yahaya berkata, suspek diminta menyerahkan diri selepas dikepung namun melibas parang miliknya secara rambang ke arah polis sehingga memaksa tembakan dilepaskan selepas salah seorang anggota polis hampir ditetak ketika terjatuh kerana mengelak libasan senjata berkenaan.

“Suspek terus agresif melibas parang walaupun tembakan pertama telah mengenai perut suspek, sebelum tembakan kedua dan ketiga dilepaskan ke bahagian dada suspek.

“Suspek yang berasal dari Taman Sri Mahkota Aman, Batu 12, Kuantan itu kemudiannya masih cuba bergelut dengan anggota polis sebelum berjaya ditangkap dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepaket serbuk dadah dipercayai jenis heroin kira-kira seberat 10 gram di dalam van berkenaan selain menyita tiga buah motosikal yang ditemui ketika melakukan serbuan di ladang Felda Chini 2.

“Suspek yang sedang dirawat dilaporkan stabil dan pihak polis sedang menjalankan pemeriksaan termasuk kandungan air kencing suspek bagi menentukan suspek positif dadah atau tidak.

“Suspek turut dikesan mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan kes dadah serta jenayah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

©Eriyza : Tak pasal-pasal kena tembak, kang senang kalau bagi kerjasama.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.