Nov 26, 2011

Dari Basikal Ke Motorsikal



Repost : Dari Basikal Ke Motorsikal
via Inspirasi Dari Kisah Benar by admin on 11/18/08

Basikal bukanlah kenderaan yang asing bagi penulis. Sejak berusia 2 tahun lagi, penulis telah belajar mengayuh basikal. Meskipun ketika itu, basikal hanya berfungsi sebagai alat mainan. Seterusnya, bila berada di tadika, penulis mula belajar mengayuh basikal yang mempunyai dua roda kecil di bahagian belakang. Oleh kerana penulis agak lasak orangnya, penulis telah terjatuh banyak kali sebelum pandai mengayuh basikal dengan kadar yang cepat. Pada pertengahan era 80an, penulis mula menjejakkan kaki ke sekolah. Ketika itu, antara kenderaan yang penulis naiki untuk ke sekolah ialah beca dan van sebelum beralih ke basikal. Penulis mula berbasikal ke sekolah ketika berada di tahun empat.

Basikal biru banyak jasanya kepada penulis. Selama enam tahun penulis menggunapakainya untuk pergi ke sekolah, mengaji, perpustakaan dan lain-lain tempat. Paling indah, tempat duduk belakangnya juga pernah dinaiki oleh arwah nenek penulis selain adik-adik dan rakan-rakan penulis. Dahulu, penulis langsung tidak merungut apabila perlu mengayuh basikal di bawah teriknya matahari ketika bersekolah sessi petang. Seawal jam 12.30 tengahari, penulis sudah bersedia untuk ke sekolah memandangkan rumah penulis jaraknya 2 kilometer dari sekolah. Tiada alasan untuk ponteng sekolah meskipun peluh membasahi baju akibat berkayuh. Secara tidak langsung, penulis bersenam tanpa disedari.

Ketika berada di tingkatan 4, penulis mula minat kepada motorsikal. Penulis memujuk ayah agar membiayai yuran pendaftaran untuk mengambil lesen motorsikal. Setelah ayah berpuashati dengan alasan kukuh yang penulis berikan, akhirnya penulis dibenarkan untuk mengambil lesen. Pada 3 Julai 1994, sebuah motorsikal RG Sports berwarna hijau menjadi milik penulis.

Sejak itu, penulis mula curang pada basikal biru. Sedikit demi sedikit, basikal biru semakin jarang penulis kayuh. Penulis asyik masyuk dengan RG Sports yang ternyata lebih bergaya dan lebih hebat berbanding basikal biru. Akhirnya, penulis mula menjauhkan diri dari basikal biru. Basikal biru sudah menjadi bahan antik di dalam bangsal. Tiada lagi kayuhan dari seorang anak gadis.

Semua itu kini menjadi memori. Basikal mahupun motorsikal sudah lama benar tidak penulis gunakan sebagai kenderaan. Sekarang, penulis lebih senang berurusan dengan kereta. Meskipun kadangkala berdepan dengan harga minyak yang sentiasa membuatkan penulis terpaksa berjimat-cermat atau pun lot parkir yang sukar dicari, penulis masih belum terfikir untuk kembali berbasikal atau bermotorsikal. Agaknya pembaca blog ini juga begitu. Apabila mendapat sesuatu yang jauh lebih baik dari yang sebelumnya, tindakan drastik akan diambil untuk meninggalkan barang tersebut. Adakah kamu juga begitu??

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.