Jul 26, 2012

Pelajar Malaysia Selamat Tiba Dari Syria


Tiada perkataan yang lebih tepat untuk digambarkan bagi ibu bapa apabila anak yang berada di negara yang sedang dilanda perang saudara telah pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. Sekumpulan 7 orang pelajar Malaysia yang menuntut di Syria telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.25 petang pada hari Rabu, 25 Julai 2012.

Mereka pulang dengan penerbangan Emirates EK346 telah disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot. Mereka adalah kumpulan pertama pelajar Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air berikutan konflik yang tercetus di negara Timur Tengah itu.


Antara penuntut yang selamat tiba ialah :-

Mohd. Luqman Saidin (23)
Abdul Halim Mohammad Ghazali (21)
Muhammad Afifuddin Md. Tahir (23)
Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri (21)
Muhammad Othman Zawawi (23)
Muhammad Rusydi Ilhami Ahmad Fahmi (22)
Syed Abdul Rahman Syed Ramli (14)


Para penuntut yang tinggal di Kota Damsyik berkongsi dengan rakyat Malaysia cerita sebenar tentang keadaan yang sedang bergolak di negara yang ditadbir oleh pemerintah Zalim, Bashar Al-Assad.


Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21, yang berasal dari Bangi berkata, keadaan semakin meruncing sejak minggu lalu dengan kejadian tembakan tidak jauh dari kediamannya yang menyebabkan beliau tidak berani keluar rumah.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya mewakili enam pelajar lain mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Malaysia di Syria atas usaha membawa kami keluar," katanya kepada pemberita.

Bagi Muhammad Afifuddin Md Tahir, 23, beliau lega kerana dapat pulang ke tanah air walaupun pada mulanya enggan berbuat demikian kerana bersemangat untuk meneruskan pengajian di sana.

Pelajar tahun pertama sebuah kolej syariah itu bagaimanapun berkata setelah kejadian tembak-menembak berlaku tidak jauh dari kediamannya, pulang ke tanah air dianggap pilihan terbaik.

Menceritakan pengalamannya, Muhammad Afifuddin berkata walaupun tidak mempunyai masalah bekalan makanan, banyak kedai ditutup dan penduduk juga diminta meninggalkan masjid sebaik selesai menunaikan solat.

"Kalau sebelum ini kami biasa membaca al-Quran selepas solat, namun kami tidak lagi dibenarkan berbuat demikian. Malah solat Terawih juga dipendekkan daripada 20 ke lapan rakaat," katanya.

Mohd Luqman Saidin, 23, pula berkata, beliau dapat melihat cahaya daripada bedilan roket dan senjata api pada waktu malam daripada kediamannya.

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat," kata pelajar itu yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah.

Petikan Sinar Harian


Menurut Menteri Luar, kesemua pelajar Malaysia akan dibawa pulang menerusi 3 lagi penerbangan pada hari Khamis. Pihak beliau masih memujuk baki lagi 8 keluarga pelajar yang enggan pulang.

Penulis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha membawa pelajar Malaysia keluar dengan aman dari Syria.

©Eriyza : Baru tahu ada seorang saudara turut belajar di Syria dan telah dibawa pulang ke Malaysia.

Via : Kosmo! | Sinar Harian

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.