Aug 17, 2012

Gegendang Telinga Pecah Ditampar Guru Sekolah


Muhammad Bazly Burhan, 13, yang belajar di sekolah berasrama di Dungun ditimpa musibah pecah gegendang telinga gara-gara mengejek gurunya. Kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang sedang ketika dia sedang menduduki peperiksaan pentafsiran.

Ejekannya itu menyebabkan guru Bahasa Inggerisnya berang sebelum memanggilnya lalu menarik kedua telinga selain menamparnya beberapa kali di bahagian pipi. Mangsa mendakwa dia tidak melawan malah berulangkali meminta maaf di atas keceluparan mulutnya yang menyinggung perasaan guru berkenaan.


Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan beberapa rakannya yang juga mengikuti peperiksaan selain beberapa rakan lain yang berada di luar kelas.

“Ketika dia menampar pipi, sambil menahan kesakitan, saya beberapa kali memohon maaf selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu namun dia terus menampar pipi saya.

“Telinga saya kemudiannya terasa sakit sebelum darah keluar, apabila melihat darah keluar, baru dia berhenti menampar saya,” kata Bazly yang juga bekas murid Sekolah Rendah Islam Al Amin, Kemaman.

Menurut Bazly, selepas kejadian itu dia balik ke asramanya lalu menyapu ubat minyak gamat di tempat lukanya itu.

Bazly berkata, kejadian itu tidak diberitahu kepada ibu bapanya sehinggalah ibunya mendapat tahu daripada ibu kepada rakannya yang turut bersekolah di situ mengenai kejadian menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu, yang pernah mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.

Sebaik mendapat tahu kejadian tersebut, bapa Bazly, Burhan Abdullah, 46, datang mengambilnya di asrama lalu menghantar anaknya itu untuk mendapat rawatan awal di sebuah klinik swasta dekat Paka.

Hasil pemeriksaan doktor, gegendang telinganya didapati telah pecah lalu bapanya membawa Bazly untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Rawatan Pakar Kuantan sebelum merujuk semula kesnya ke Hospital Dungun.

Kejadian berkenaan turut dilaporkan di Balai Polis Paka Ahad lalu.

Sementara itu, bapa Bazly, Burhan yang juga seorang eksekutif di syarikat minyak dan gas berkata, dia kesal dengan kejadian berkenaan, apatah lagi ia berlaku di sebuah sekolah berasrama yang mempunyai tahap moral yang tinggi pada persepsi masyarakat umum.

“Selepas kejadian itu, guru sekolah tersebut sepatutnya menghubungi saya, berbincang, kalau perlu memohon maaf, minta maaf.

“Ini tidak sehingga hari ini, mereka masih membisu, kalau anak rakan isteri saya tidak memberitahu saya, hingga hari ini saya tidak tahu kejadian yang berlaku,” kata Burhan.

Sinar Harian juga difahamkan Burhan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes anaknya itu.

Petikan Sinar Harian


Kadangkala sikap pelajar yang kurang ajar membuatkan guru hilang sabar, apatah lagi kalau kebiadapan tersebut berlaku banyak kali.

©Eriyza : Sudah lama tidak ke bandar Dungun.

Via : Sinar Harian


0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.