Aug 8, 2012

Pensyarah UPSI Menang Tesis Terbaik Seluruh United Kingdom


Seorang pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak menjulang nama Malaysia di mata dunia apabila menerima anugerah tesis terbaik bidang literasi seluruh United Kingdom pada 7 Julai 2012. Dr Dahlia Janan, 42, pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI dikurniakan 'United Kingdom Literacy Association Research Student Award 2012' oleh UKLA Convenor of Research, Prof Guy Merhant.


"Tesis beliau dinobatkan sebagai juara kerana beliau berjaya menghasilkan satu inovasi baharu dalam bidang kebolehbacaan iaitu menggunakan gabungan kaedah penyelidikan kuantitatif dan kualitatif untuk mengkaji bidang berkenaan. Beliau juga berjaya menghasilkan model baharu kebolehbacaan yang kini menjadi rujukan para penyelidik antarabangsa," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dr Dahlia yang kini dilantik sebagai Ketua Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI mulai 16 Julai lepas juga merupakan seorang yang aktif semasa melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Phd) di University of Warwick, UK terutama kerja amal 'The Right to Read' antara tahun 2008 dan 2010.

Projek tersebut adalah kerja amal penuntut universiti yang menjadi rakan bacaan kepada kanak-kanak sekolah rendah yang kurang keyakinan diri untuk membaca, katanya.

Menurut kenyataan itu, Dr Dahlia pernah dilantik sebagai seorang perunding untuk 'The Language Accessibility Guides Project for Office of Qualification and Examinations Regulations (OFQUAL) UK iaitu sebuah badan kerajaan Britain yang mengawal hal ehwal kualiti serta standard bahan peperiksaan di UK.

Selain itu pada Oktober tahun lepas, beliau turut dianugerahkan 'Giving to Warwick Student Prize' bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik, kegiatan amal serta kejayaan cemerlang dalam kerja konsultasi ketika menjalani pengajian peringkat Phd di Institute of Education, University of Warwick, kata kenyataan itu.

Dr Dahlia mempunyai kepakaran dan kecenderungan terhadap bidang pedagogi, proses bacaan dalam literasi kanak-kanak dan dewasa, kebolehbacaan, pendekatan inovatif dalam meneliti kekompleksan serta kesukaran teks dan kajian bandingan proses bacaan dan literasi.

Beliau menyifatkan anugerah yang diterima pada Julai lepas itu sebagai satu kenangan manis sepanjang pembabitannya dalam dunia akademik dan ia sebagai hadiah untuk sambutan 90 tahun UPSI kali ini.

Katanya, beliau sangat bersyukur dengan anugerah itu kerana ia bukan sahaja untuk dirinya sendiri dan keluarga, malah ia juga untuk universiti serta dunia pendidikan negara.

Beliau berazam 'membayar' kembali segala jasa dan sokongan daripada pihak kerajaan dan rakyat Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan belajar sejak di bangku sekolah sehingga berjaya di peringkat Phd, menurut kenyataan itu.

Petikan Sinar Harian


Tahniah kepada Dr Dahlia kerana berjaya menewaskan peserta lain dari seluruh dunia. Semoga usaha murni beliau dibalas dengan kebaikan.

©Eriyza : Ada saudara pernah menuntut di UPSI.

Via : Sinar Harian | Warwick

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.