Oct 25, 2012

Makcik Aminah Kejar Penjenayah


Seorang makcik berusia 69 tahun, Aminah Yusof, nekad mengejar dua lelaki yang menipu wangnya melalui peraduan gores dan menang yang menjanjikan hadiah lumayan termasuk sebuah kereta Toyota Camry 2.4. Dia terpedaya dengan janji manis lelaki berkenaan ketika disuruh menyertai peraduan tersebut.

Selepas wang keringatnya hasil berniaga di Pasar Payang berjumlah RM8,000 ditipu oleh suspek, dia bertekad untuk membawa suspek tersebut ke muka pengadilan.


Tindakan berani Aminah dengan bantuan orang ramai akhirnya berjaya menangkap tiga lelaki dipercayai dalang kepada penipuan ‘gores dan menang’ yang menjanjikan hadiah lumayan, termasuk sebuah kereta Toyota Camry 2.4 di tempat letak kereta di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, pagi semalam.

Menceritakan kejadian, Aminah yang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang, mendakwa, dia mengalami kerugian RM8,000 selepas diminta membuat pembayaran sejurus melakukan cabutan percuma menerusi kupon oleh dua suspek.

Kata warga emas itu, dia didatangi dua suspek terbabit semasa berada di tempat letak kereta di depan Pasar Besar Kedai Payang, pada Isnin lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

"Ketika itu, saya sedang memasukkan duit ke dalam mesin parkir sebelum disapa oleh mereka berdua dan memberitahu kononnya saya merupakan wanita paling bertuah hari ini kerana bakal memenangi sebuah kereta Toyota Camry, pakej umrah dan pakej pelancongan.

“Bagaimanapun, selepas membuka dua kupon yang diberikan, mereka mengajak saya ke pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Kecil, di sini, untuk menjelaskan maklumat lebih lanjut bagi memperoleh hadiah lumayan itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Aminah mendakwa, dia seolah-olah merasakan dirinya dipukau kerana mengikut sahaja arahan kedua-dua suspek dan sanggup membawa mereka ke pejabat dengan menaiki kereta Perodua Kancil miliknya.

“Setibanya saya di situ, mereka mengarahkan saya membayar RM8,800 terlebih dahulu sebagai permulaan untuk mendapatkan antara tiga hadiah utama ditawarkan, bagaimanapun mereka kononnya memberikan diskaun RM800 kerana saya hanya mempunyai RM8,000 sahaja.

“Sejurus pembayaran dilakukan, mereka memberikan saya hadiah satu tilam dan satu dapur gas elektrik sebelum memaklumkan berkemungkinan saya akan memperoleh hadiah utama yang akan diberitahu kemudian,” katanya.

Katanya lagi, pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana masih mengharapkan salah satu hadiah utama yang ditawarkan, namun mula tersedar dirinya ditipu selepas dinasihati oleh anak-anaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu pada malam hari kejadian iaitu 22 Oktober lalu.

Bagaimanapun Aminah menjelaskan, dia masih ‘berdendam’ dengan kedua suspek itu dan nekad akan menjejaki mereka bagi mendapatkan kembali wangnya.

“Selepas kejadian itu, saya meneruskan perniagaan di kedai seperti biasa, namun dalam masa sama, saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau dengan harapan dapat jumpa semula dengan dua lelaki itu.

“Tadi (semalam), sejurus saya ternampak mereka sedang ‘menipu’ orang ramai di tempat letak kereta, saya nekad menghampiri mereka lalu meminta semula wang saya namun mereka berdegil dan seolah-olah tidak bersalah,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kedegilan kedua-dua suspek yang bukan sahaja tidak mahu memberi kerjasama dan cuba melarikan diri itu, keadaan menjadi kelam kabut sebelum orang awam masuk campur dan menangkap mereka serta diserahkan kepada polis.

Petikan Sinar Harian


Syabas kepada makcik Aminah kerana berani membanteras jenayah daripada terus berleluasa.

©Eriyza : Selalu ada orang yang berhutang tetapi tidak melunaskannya.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.