Jun 16, 2013

Keputusan Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2013


KOTA BHARU - Johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56, Hanimzah Jalaluddin, menyifatkan kemenangannya sebagai rezeki keluarga yang banyak membantu kejayaannya itu. Hanimzah, 31, qariah dari Pahang adalah anak kepada bekas qari Allahyarham Jalaluddin Zainal Abidin dan ibunya qariah Rogayah Abdul Rahman, kedua-duanya pernah mewakili Pahang.

Beliau yang bertugas dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), banyak mempelajari mengenai bacaan Al-Quran daripada arwah bapa dan ibunya.

"Saya mempelajari ilmu ini sejak dari kecil sehingga sekarang dan selalu menyertai pertandingan tilawah sejak di bangku sekolah, katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Balai Islam Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini, malam tadi.

Hanimzah membawa pulang sebuah kereta Proton Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada 14 qari dan 15 qariah yang menyertai pertandingan tersebut.

Hanimzah yang mendapat markah 88.34 peratus berkata beliau akan memperbaiki banyak kelemahan dan terus belajar sebagai persediaan untuk ke Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur bermula 29 Jun hingga 6 Julai ini.

Sementara itu, johan qari Anuar Hasin, 29, yang mewakili Perak melahirkan rasa gembira dan terharu terhadap kemenangan tersebut.

"Saya rasa begitu gembira dan terharu sebab sahabat-sahabat yang lain hebat belaka," katanya yang pernah menyertai pertandingan tilawah berkenaan sebanyak empat kali.

Tutor Universiti Sains Islam Malaysia itu berkata beliau akan terus membuat latihan dan mendalami ilmu tersebut sebagai persediaan ke peringkat antarabangsa.

"Saya akan terus membuat latihan terutamanya dari segi suara dan nafas," katanya yang mendapat markah 92.33 peratus.

Anuar turut membawa pulang sebuah kereta Proton Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.

©Eriyza : Tahniah kepada qari dan qariah.

Via : Sinar Harian



1 Comment

Unknown Sun Jun 16, 10:57:00 AM

congrats to anuar & hanimzah !

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.