Nov 22, 2013

Tahan Sakit Tangan Tersepit


MUAR - Seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam apabila tangan kanannya tersepit pada besi basikal dalam kejadian di Kampung Simpang Baba, di sini, kelmarin.


Dalam insiden kira-kira jam 3 petang itu, Mohd Nur Iman Mohd Zafri, 9, sedang membetulkan rantai basikal sebelum tangan kanannya tiba-tiba terperosok dan tersepit di celah besi antara rim dengan rantai basikal itu.

Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan dengan kulit terkoyak sehingga menampakkan tulang ketika cuba menarik keluar tangannya yang turut tersangkut pada skru brek basikal berkenaan.

Bapanya, Mohd Zafri Said, 38, berkata, dia mengetahui insiden menimpa anaknya itu selepas diberitahu oleh seorang guru dari sebuah sekolah tahfiz berdekatan yang melihat Mohd Nur Iman menahan kesakitan bersama basikalnya.

Menurutnya, dia mengakui terkejut dan menyangka anaknya dilanggar kenderaan lain selepas melihat guru berkenaan cemas ketika datang ke rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

“Saya dan isteri kebetulan baru pulang dari bandar berlari mendapatkan Nur Iman yang kelihatan sedikit lemah kerana menahan kesakitan.

“Nur Iman tidak menangis cuma sekali sekala mengerang tahan sakit dan saya cuba untuk mengeluarkan tangannya yang tersepit tetapi tidak berhasil,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.

Mohd Zafri berkata, kerana terlalu bimbang keselamatan anaknya, dia menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat untuk bantuan kecemasan yang tiba 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya menyatakan hasrat mahu mengikut ke bandar, tetapi dia menyuruhnya meneruskan bermain basikal dengan rakan.

“Kejadian itu sudah berlaku 30 minit lebih awal sebelum saya mengetahuinya dan tidak menyangka anak sanggup menahan kesakitan sendirian,” katanya.

Jelasnya, anaknya kini sedang mendapatkan rawatan di HPSF dan keadaannya stabil.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, ketika pasukan tiba di tempat kejadian, mangsa sedang menahan kesakitan dengan pergelangan tangan berdarah.

“Kita terpaksa memotong besi itu kemudian meregangkan ia menggunakan alatan khas untuk menyelamatkan mangsa.

“Operasi mengeluarkan tangan mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum dia dihantar ke hospital,” katanya.

©Eriyza : Kasihan!

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.