Dec 21, 2013

Lelaki Terhumban Dalam Lubang Jalan


CHUKAI – “Saya terasa tubuh melayang sebelum pengsan,” kata penunggang motosikal, Shamsul Herman Abdul Rashid, 32, yang nyaris maut apabila terhumban dalam lubang jalan yang mendap sedalam kira-kira 1.5 meter, malam semalam.


Lubang besar itu terbentuk akibat banjir teruk yang melanda daerah ini, baru-baru ini menyebabkan tanah di situ mendap berikutan terdapat saluran pembetung di bawahnya.

Musibah tersebut menjadikan Shamsul mangsa kedua lubang disifatkan lubang maut oleh penduduk kerana selang sehari sebelum itu, seorang kanak-kanak patah tangan setelah terjatuh ke dalam lubang sama.

Shamsul berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pengkalan Binjai menuju ke sebuah stesen minyak di Batu 4, Binjai untuk mengisi minyak motosikal dengan melalui jalan pintasan Taman Semarak Binjai-SMK Binjai di Kampung Binjai.

Namun katanya, semasa melalui satu selekoh di jalan pintasan itu, dia tidak menyedari terdapat lubang besar berikutan kawasan sepanjang laluan tersebut gelap kerana tiada lampu jalan.

“Tiada langsung tanda amaran di sepanjang laluan tersebut, jadi saya tak tahu jalan di situ ada lubang besar.

“Lepas tersedar daripada pengsan, saya keluar dari lubang dan tunggang motosikal yang sudah bengkok rim bahagian depan untuk balik ke rumah yang jaraknya cuma 500 meter dari tempat kejadian,” katanya di wad lelaki Hospital Kemaman.

Akibat nahas tersebut, bapa kepada seorang anak yang bekerja sebagai buruh di Pengkalan Bekalan Kemaman, Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal itu mengalami cedera teruk di bahagian muka dengan tiga batang gigi bawah patah dan bibir terpaksa dijahit, malah ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, isterinya, Nurul Lailatul Akma Mohd Zulkafli, 20, berkata, dia terkejut apabila suaminya pulang dalam keadaan muka berlumuran darah kira-kira jam 9.30 malam.

“Tergamam saya lihat muka suami penuh darah, jadi saya tanya padanya kereta mana langgar dia. Dalam keadaan tak berdaya, dia jawab jatuh lubang,” katanya.

Oleh itu, Nurul Lailatul berharap pihak bertanggungjawab dapat membaik pulih segera jalan mendap itu agar tiada lagi pengguna jadi mangsa kerana lubang sedalam itu boleh mengundang nahas meragut nyawa.

©Eriyza : Seeloknya pasang lampu amaran yang jelas pada laluan yang rosak teruk.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.