Dec 3, 2010

Majlis Konvokesyen Ke-73 UiTM


Tarikh bersejarah di dalam kehidupan seorang pelajar termaktub lagi pada tarikh 2 Disember 2010. Dua tahun lepas, adinda lelaki penulis telah menerima diplomanya di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Akan tetapi kali ini isitadat konvokesyen dilakukan di UiTM Dungun, tempat adinda menamatkan pengajiannya.

Segala jerit perihnya selama 2 tahun bergelumang dengan kuliah, tutor, tesis dan sebagainya akhirnya terbayar juga pada hari ini. Adinda yang memakai sepersalinan jubah biru dengan topi kelihatan segak laksana pemimpin pewaris negara.

Adinda berkonvo pada sidang petang. Penulis berserta ayahanda, adinda perempuan dan seorang ibu saudara melangkah gagah ke Dewan Aspirasi untuk menyaksikan detik² bersejarah itu. Kami berdiri mengiringi perarakan masuk para graduan ke dalam dewan. Seketika kemudian, barisan dif² kehormat dan Pro Canselor pula memenuhi tempat masing² di atas pentas utama.



[:: UiTM Di Hatiku ::]

Putra putri UiTM begitu bersemangat sewaktu menyanyikan lagu UiTM Di Hatiku. Mungkin ada yang terasa sebak kerana ini kali terakhir mereka menyanyikan lagu ini beramai². Konvokesyen diteruskan dengan penganugerahan ijazah kepada pelajar oleh Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad.


Tan Sri Datuk Seri Panglima
Dr. Abdul Rahman Arshad

Satu persatu para graduan naik ke pentas utama, akhirnya tibalah giliran adinda penulis. Selaku kakak sulung, terasa bangga bercampur baur dengan sebak menyaksikan kejayaan yang dikecapi oleh adik kandung sendiri. Fikiran melayang mengingati arwah bonda yang tidak sempat melihat konvokesyen anak bongsunya.

Penulis yakin arwah ibu pasti akan tersenyum puas andai mengetahui anaknya meraih kecemerlangan di menara gading. Walaupun bonda tiada di sisi, kejayaan ini kami dedikasikan khas untuk arwahnya. Ayahanda antara orang yang paling gembira di majlis ini walaupun penulis tahu tersimpan sebu yang disembunyikan di sukmanya.

Terpancar kepuasan di wajah adinda penulis apabila isitadat konvokesyen tamat. Wajah² graduan lain juga disinari cahaya kerana terlalu gembira. Aktiviti bergambar bermula. Setiap ruang dipenuhi dengan graduan dan ahli keluarga mengabadikan kenangan bersama. Kemuncaknya, mereka melambung topi beramai² sebagai tanda 'kami sarjana muda Uitm Dungun'.

Sekalung tahniah buat semua para graduan UiTM Dungun khususnya adinda penulis. Semoga kejayaan sentiasa milik kamu di masa² mendatang.

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.