Oct 11, 2011

Bukan Cubit, Cuma Jentik


Wahai blog, sudah lama aku tidak melakar sesuatu di hamparan dindingmu. Aku hanya menguntum senyuman tatkala ada yang bertanyakan tentang 'buah tangan' terbaru dariku. Sibukkah aku sehingga tiada masa untuk mencoret sesuatu di sini? Oh tidak! Aku cuma berpura² sibuk padahal aku malas untuk memerah idea. Ya, aku semakin malas menulis tetapi itu tidak bermakna aku jemu pada ilmu. Entahlah, aku sendiri tidak pasti mengapa sikap malas hendak mengemaskinikan blog berlanjutan. Mungkin blogger lama seperti aku sudah penat dengan semua ini. Aku lebih senang menonton wayang sekarang. Opsss, bukan di pawagam, hanya di layar komputer.

Di dada akhbar, aku melihat terbit berita tentang guru yang mencubit anak muridnya sehingga berbekas. Wah, bisa betul tangan guru tersebut sehingga meninggalkan kesan pada tubuh badan pelajarnya. Perlukah hal sekecil ini diperbesarkan?? Pernahkah kamu, kamu, kamu dan kamu fikir betapa sukarnya hendak mengajar dalam zaman yang penuh 'pantang larang' ini??

Dahulu, ibu bapa aku dan mungkin juga mak abah kamu sering kali berdepan dengan hukuman dek guru² mereka yang garang. Adakah mereka memberitahu kamu bahawa nenek moyang kamu pergi menghukum cikgu di sekolah sebagai serangan balas?? Atau adakah kamu terdengar mereka menyebut bahawa mereka benci pada guru yang menjatuhkan hukuman?? Tidak! Malah mereka semakin hormat pada guru tersebut.

Aku jarang menghukum pelajar²ku dengan cubitan. Namun, aku tetap menggunakan jari sebagai 'hadiah' untuk mereka sekiranya melakukan kesilapan. Cara aku mudah dan ringkas iaitu jentik jari. Aku tidak mengajar mereka dengan percuma, seharusnya aku memberikan perkhidmatan terbaik apatah lagi aku diberi sepenuh kepercayaan oleh mak abah mereka untuk mendidik mereka.

Aku cakna pada kesalahan tanda baca, maka setiap kali jari² comel mereka ralit menulis huruf besar pada kata nama am, ketika itulah jari jemari gebuku pantas menjentik. Maka tergopoh-gapahlah mereka mencari pemadam sambil menggosok-gosok jari mereka yang kujentik manja.

Kaedah ini aku kira berjaya kerana mutakhir ini sudah kurang jari jemari yang menerima habuan jentikanku. Mereka akan segera menyemak tanda baca mereka ketika aku membuat pemeriksaan dan akan segera memperbaikinya sebelum hukuman mandatori dijatuhkan. Kadangkala gelagat mereka cukup mencuit hati.

©Eriyza : Budak² perlu dididik dengan cara tertentu kerana mereka belum mampu memikirkan baik buruk sesuatu perkara dengan sempurna. Kamu perlu cuba memahami mereka bukannya memaksa mereka memahami apa yang kamu sampaikan kerana tahap pemikiran setiap orang adalah berbeza.

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.