Feb 2, 2012

Sham Kamikaze Berdakwah Kerana Hidayah


Nampaknya semakin ramai artis² Malaysia yang mula beralih arah dari kehidupan yang tiada batasan kepada ajaran Islam yang tulen. Jika 1Malaysia maklum, selebriti yang paling ramai melakukan penghijrahan adalah artis wanita manakala artis lelaki pula agak jarang kedengaran. Di dalam jumlah yang sedikit itulah, terpacul nama Sham Kamikaze yang telah melakukan transformasi cara hidup sepenuhnya. Alhamdulillah!


Tidak ramai tahu, sebelum Sham berubah, isterinya, Farazila Abd Jabar yang terlebih dahulu meninggalkan zaman silamnya dengan mengamalkan kehidupan Islam. Justeru, ketika menunaikan umrah, dia telah berdoa agar suaminya turut diberi hidayah. Alhamdulillah, Allah memperkenankan doanya.


SHAM KAMIKAZE BERKONGSI PENGALAMAN HIJRAHNYA


SHAM KAMIKAZE DALAM PROGRAM TV9 - INILAH KISAHKU

Penghijrahan Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh adalah didorong oleh pertemuannya secara tidak sengaja dengan Imam Masjid Al-Haram, Sheikh Abdurahman as-Sudais. Dalam kerumunan orang ramai yang mahu bertemu dengan Sheikh Abdurahman, Sham berasakan dirinya tiada peluang untuk mendekati imam tersebut. Akan tetapi, dengan izin Allah, dibukakan ruang buatnya malah Sheikh Abdurahman yang terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk menyalaminya. Masya Allah.

Dahulunya, Sham terkenal sebagai pemuzik di dalam band Kamikaze. Semua aksessori wanita seperti subang, gelang dan rantai pernah menghiasi tubuhnya. Jika anda pernah menonton Akademi Fantasia, tentu sekali pernah melihat figura ini sebagai pengarah muzik atau pun tenaga pengajar. Kehandalannya bermain gitar tidak dapat dinafikan lagi. Malah Sham bekas pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan dan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Sham banyak belajar agama daripada Ustaz Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Kini, Sham mulai memperlahankan aktiviti seninya dan lebih banyak berdakwah. Dia juga banyak mengikuti program keagamaan yang disertai oleh penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus. Dia aktif menceritakan kisah hidupnya sebagai pedoman kepada orang lain.

Walaupun ada sesetengah pihak memandang serong terhadap usaha murni Sham tetapi dia bertekad akan meneruskan dakwahnya. Menurut Sham lagi, dia bukan bercakap sebagai seorang ustaz tetapi sekadar berkongsi pengalaman yang dilaluinya dan masyarakat sendiri faham tidak semua soalan mereka mampu dijawab olehnya.

Tahniah dan syabas kepada abang Sham Kamikaze kerana teguh dengan prinsip untuk menyebarkan dakwah kepada umat Islam yang lain. Mudah²an Allah memberi rahmat ke atas kebaikannya. Amin.

©Azurie : Tidak berpeluang mendengar ceramahnya ketika dia datang ke Kemaman dahulu kerana perlu bekerja. Semoga diberi kesempatan menyelami pengalamannya lain kali.

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.