Sep 12, 2013

Adik Dilanggar Ketika Ambil Selipar


PARIT BUNTAR - “Ayah, adik dekat belakang mati kena langgar!” Hanya itu mampu diungkapkan kakak kanak-kanak berusia dua tahun yang maut dirempuh kereta bapanya di kediaman mereka di Taman Kerian di sini, semalam.

Lebih memilukan, kejadian tragis itu berlaku di hadapan mata bapa kanak-kanak malang itu.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Adam Mohd Ali difahamkan berada di belakang kereta Toyota untuk mengambil seliparnya manakala abangnya, Aiman Yasin Mohd Ali yang berusia empat tahun berada dalam kereta terbabit dan cuba menghidupkan kenderaan itu.

Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah selepas menghantar isterinya berniaga di Alor Pongsu, Bagan Serai dan ingin bergegas menghantar anak perempuannya ke sekolah.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumahnya, dia masuk ke dalam sebentar untuk mengambil barang sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

“Saya segera keluar dan melihat Aiman sedang bermain di tempat duduk pemandu, manakala arwah berada di belakang kereta untuk memakai selipar. Saya mendekati kereta dan terkejut melihat Aiman cuba menghidupkan enjin kereta.

“Saya cuba menahan tindakannya itu, namun dia terus menghidupkan enjin dan secara tiba-tiba kereta mengundur ke belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Ali berkata, dia kemudiannya terdengar jeritan yang diselangi suara anak perempuannya mengatakan Mohd Adam meninggal dunia akibat dilanggar.

Dia segera meluru ke belakang kereta yang mengundur hingga menyentuh dinding rumah itu dan mendapati mangsa dalam keadaan melutut sambil memegang selipar, manakala bahagian kepalanya dihimpit belakang kereta.

“Saya melihat Mohd Adam kaku di belakang kereta dan apabila kereta dialihkan ke hadapan, arwah terus terduduk.

Kepala arwah cedera dan saya segera memeriksa keadaannya serta mendapati arwah sudah tidak bernyawa.

“Saya tidak sangka kereta akan mengundur dan saya percaya Aiman memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain dalam kereta,” katanya.

Mohd Ali berkata, melihat keadaan mangsa, anak keempatnya, Akmal Yasin pada mulanya menyangka mangsa sedang ‘tidur’ dan mengangkatnya ke bahagian hadapan rumah.

Katanya, bagaimanapun sebaik sahaja mengetahui adik bongsunya itu sudah tidak bernyawa, kanak-kanak itu terus meluru ke arah kakaknya sambil menangis kerana dia rapat dengan arwah.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah langsung tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga pergi melancong.

“Kami sekeluarga pasrah dengan pemergian arwah, cuma saya sedih kejadian tragis ini berlaku di hadapan mata kami sekeluarga,” katanya.

Suasana pilu turut menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu mangsa menangis teresak-esak tanpa henti sambil memeluk jenazah mangsa sehingga saat mangsa ingin dibawa polis ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya kes sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak yang turut hadir ke lokasi kejadian meminta orang ramai terutama golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati mengendalikan kenderaan di pekarangan rumah masing-masing.

“Kejadian tragis wajar dijadikan iktibar kepada semua ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak kecil terutama apabila mereka berada di luar rumah,” katanya.

©Eriyza : Takziah untuk keluarga mangsa.

Via : Sinar Harian

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.