Berita yang terpampang di Mingguan Malaysia hari ini. Berita ini adalah rentetan daripada entri penulis tentang tragedi di Pantai Batu Hitam.
KUANTAN 10 Mac – Hasrat tiga bersaudara mengunjungi Karnival JomHeboh yang bermula hari ini berakhir dengan tragedi apabila mereka terkorban sewaktu bermandi-manda di Pantai Batu Hitam, Beserah di sini.
Dalam kejadian pukul 4 petang itu, mangsa Mohd. Amirul Asraff Mohd. Razlan, 10; Jas Amirul Daniel Jasri, 11, dan Wan Ikmal Nasarudin Mohd. Radzi, 12, yang merupakan saudara sepupu, mati lemas ketika bermandi-manda di pantai tersebut.
Kesemua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Tajau dan berasal dari Felda Bukit Tajau, Maran, berkunjung ke Kuantan dengan tujuan untuk pergi ke Karnival JomHeboh bersama ahli keluarga lain.
Menurut ibu kepada Jas Amirul Daniel, Jamilah Abd. Jalil, 43, mereka berhasrat ke karnival tersebut selepas berkelah di pantai berkenaan tetapi tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi.
“Kami tidak merancang pergi berkelah, kami berkunjung ke Kuantan untuk pergi JomHeboh tetapi anak saya, Amirul hendak sangat pergi mandi di pantai.
“Saya tak sangka jadi begini akhirnya,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Seramai 40 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan gerakan mencari mangsa.
Hasil gerakan mencari yang dilancarkan, mayat Mohd. Amirul Asraff ditemui pada pukul 5 petang manakala mayat Wan Ikmal pula dijumpai pukul 6.20 petang.
Sehingga pukul 7 malam ini, mayat Jas Amirul Daniel masih lagi belum ditemui oleh pasukan penyelamat.
Mingguan Malaysia difahamkan, abang kepada Jas Amirul Daniel iaitu Jas Hafrizal, 14, turut sama berenang bersama-sama adik dan sepupunya itu tetapi dia telah ditolak ombak ke tepi pantai dan terselamat daripada tragedi tersebut.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berkejar ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan tentang berita sedih itu turut sama menenangkan ahli keluarga mangsa.
Ekoran kejadian itu, ibu kepada Wan Ikmal, Rosilah Abdullah, 37, rebah di hadapan Sultan Ahmad Shah dan dia sekali lagi pengsan apabila dimaklumkan mayat anaknya berjaya ditemui.
Sultan Ahmad Shah ketika ditemui pemberita, melahirkan rasa sedih terhadap tragedi yang menimpa tiga keluarga tersebut.
Baginda bertitah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) perlu menyediakan papan tanda amaran supaya orang luar yang datang berkelah di pantai itu lebih berhati-hati.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusuf berkata, pihaknya akan meneruskan gerakan mencari seorang lagi mangsa, Jas Amirul Daniel sehingga ditemui.
0 Comment
Post a Comment
Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)
Sila ambil perhatian perkara² berikut :-
1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.