Jul 27, 2012

Kapal Bunga Alpinia Terbakar Di Labuan


Sebuah kapal tangki Bunga Alpinia milik Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) terbakar dan meletup menyebabkan seorang meninggal dunia manakala empat lagi masih hilang. Kejadian pada jam 2.30 petang itu meragut nyawa Sharil Azmi Baharudin, 28, yang ditemui rentung berhampiran jeti Petronas. Empat lagi yang masih hilang dikenali sebagai Muhammad Azrin Khansani, 20, Mohd Hanafi Kalil, 24, Zahari Hassim, 46, dan warga Filipina, Errol Calau-an Colangay, 32.

Difahamkan, tragedi itu berlaku sewaktu kapal itu sedang mengisi metanol di terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd. Kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina. Kesemua 24 anak kapal yang lain berjaya diselamatkan.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad Dr Abd Hapiz Abdullah berkata letupan itu berlaku selepas beberapa jam proses pengisian bahan kimia ke dalam kapal dilakukan. Proses mengisi bahan kimia itu memakan masa kira-kira 24 jam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, hanya seorang sahaja kakitangan syarikat itu yang cedera dan mengalami kecederaan di mata.

Beliau berkata, petugas syarikat Petronas Chemicals, yang identitinya tidak dimaklumkan adalah dalam keadaan stabil dan akan dirujuk kepada pakar mata esok.

Abd Hapiz berkata, pada masa kejadian terdapat 14 kakitangan Petronas Chemicals yang sedang bertugas di bilik kawalan, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdapat kira-kira 200 kakitangan Petronas Chemicals yang bertugas di loji tersebut.

Abd Hafidz berkata, ekoran kebakaran itu, operasi 'plant one' dihentikan sementara waktu, manakala 'plant two' tidak terjejas.

Beliau juga mengesahkan tidak ada kebocoran berlaku di perairan Labuan berikutan kebakaran kapal MISC itu.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian yang tidak diduga itu, dan keselamatan merupakan keutamaan dalam operasi syarikat itu.

Sementara itu, penduduk kampung berhampiran terminal Petronas iaitu Patau-Patau 1 dan 2, iaitu kira-kira 100 meter dari terminal berkenaan, awal pagi tadi dibangunkan dengan bunyi dentuman yang kuat, dan diikuti dengan gegaran.

Salah seorang penduduk Maimunah Mahmud dari Kampung Patau-Patau 1 berkata, pada masa kejadian beliau sedang memasak untuk sahur, dan keluarganya yang tidur masa itu semua terkejut lalu meluru keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

"Dentuman itu diikuti dengan api yang menerjah ke langit. Kami semua panik bercampur takut ketika itu, bimbang kampung kami akan terbakar kerana rumah kami di hadapan tapak operasi Petronas itu," katanya.

Bagi Awang Kadir Abdullah yang tinggal di Kampung Patau-Patau 1 berkata, kejadian yang mengerunkan itu merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di loji itu.

Kejadian itu telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk kampung mengenai keselamatan mereka kerana kedudukan kampung mereka yang terlalu dekat dengan loji itu, katanya.

"Kita tidak nafikan operasi metanol ini telah banyak menjana aktiviti ekonomi penduduk setempat, namun aspek keselamatan perlu juga diambil kira. Kita
percaya pihak Petronas sedar akan perkara ini, dan kita tahu mereka sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan," katanya.

Petikan Sinar Harian


Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

©Eriyza : Gerun tengok kapal terbakar.

Via : Sinar Harian

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.