Jul 7, 2012

Pelajar Sekolah Agama Menang Pameran Antarabangsa Pereka Muda


Sekumpulan pelajar perempuan dari Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata) berjaya menghasilkan set membuka dan menukar tayar kereta yang dinamakan Nutty Notty. Alat yang diilhamkan dari besi katil asrama terbuang itu telah mengondol anugerah emas di Pameran Antarabangsa Pereka Muda 2012 di Bangkok yang diadakan pada 28 hingga 30 Jun lalu.


Mereka pernah memperoleh pelbagai pengiktirafan lain seperti juara Pertandingan Anugerah Pencipta Muda Universiti Teknologi Petronas 2011, Ekspo Saintis Muda Perak 2011 (Kategori Inovasi Sekolah Menengah dan Sains), Hari Harta Intelek Negara 2012 (Kategori Inovasi Pelajar Sekolah Menengah) dan Pameran Inovasi dan Penciptaan Kejuruteraan Antarabangsa 2012.



Ketua kumpulan, Nor Ameerah Nawi, 17, berkata, cubaan mereka secara tidak sengaja apabila mendapat idea menjadikan besi katil sebagai ujian untuk mencipta alat itu membuahkan hasil, sekali gus membuktikan pelajar aliran agama juga mampu berfikiran kreatif dan inovatif.

“Kami bangga dapat membuktikan rekaan pelajar sekolah agama juga diterima di peringkat dunia.

“Kami tidak menyangka rekaan yang hanya menelan kos RM30 ini menarik perhatian ramai sehingga meraih pelbagai anugerah pada pertandingan yang kami sertai,” katanya.

Pelajar jurusan pengajian Islam itu berkata, penyertaan di Bangkok adalah pencapaian paling membanggakan, sekaligus mengharumkan nama sekolah dan negara.

Menurutnya, pertandingan di Bangkok penghujung Jun lalu, disertai 522 penyertaan dari sembilan negara iaitu Thailand, Indonesia, Jepun, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Taiwan, Filipina serta Malaysia.

“Set ‘Nutty-Notty’ yang direka mempunyai banyak kebaikan kepada pengguna kenderaan terutama wanita. Malah kami yakin alat ini dapat dikomersialkan berdasarkan maklum balas diterima daripada beberapa pihak.

“Set mudah alih, ringan dan tahan karat itu mampu membantu pemilik kenderaan menggantikan tayar kenderaan dalam tempoh dua hingga tiga minit berbanding enam hingga 12 minit mengikut kaedah biasa,” kata Ameerah ketika ditemui wartawan pada sidang media mengenai kejayaan itu di sekolahnya, di sini, semalam.

Petikan Harian Metro


Selain Nor Ameerah Nawi, 17, kumpulan pelajar ini terdiri daripada Afifah Husain, 17, Nur Syuhadah Shahirah Junaidi, 17, Nabilah Aliyah Ahmad Naim, 17, Nurul Shazleen Husna Saad, 16, Radin Aimi Aqilah Muhammad Anas, 16, Norfaranina Shahira Zulkipli, 16, dan Farah Hanis Fadzil, 16.

Syabas dan tahniah kepada adik-adik yang berjaya menghasilkan rekaan yang begitu kreatif. Semoga terus sukses di masa hadapan.

©Eriyza : Mahu memiliki set Nutty Notty yang bakal berada di pasaran nanti.

Via : Harian Metro

0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.